Bismillaahi ‘alaa diinii wanafsii wawaladii wa-ahlii wamaalii


Dengan nama Allah, (aku memohon perlindungan) mengenai agamaku, hidupku, anak-anakku, keluargaku



WOW!

Sunday, March 27, 2011

AHLAN WA SAHLAN BIKUM WA MARHABAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. 
Pada hakikatnya kehidupan kita di dunia yang sementara ini adalah satu perjalanan singkat; 60 tahun, 72 tahun, 45 tahun ataupun kurang dari itu mahupun ada yang sempat menghirup udara dunia sebentar cuma seperti kanak-kanak yang diambil oleh "Kholiq" (Pencipta) Nya di awal usia! 
Namun itulah hakikatnya. 
Keberadaan kita di dunia ini cumalah seketika bagi menjalani ujian Allah swt samada pahit atau manis, suka ataupun duka, senang ataupun susah, lapang ataupun sempit, kaya atau miskin, ternama atau tidak dikenali, popular ataupun tidak dipedulikan dan yang lebih penting dari itu beriman ataupun kafir, syukur ataupun kufur. 


Blog ini saya tulis untuk kita berkongsi pengalaman di sepanjang usia kehidupan, berkongsi rasa & perasaan, sepanjang perjalanan yang telah kita tempohari di mana-mana lokasi atau negara yang kita kunjungi. 
Berkongsi cerita tentang manusia yang pernah kita temui, masyrakat kita pernah kenali, negara yang pernah kita kunjungi, berbagai rencam adat resam dan budaya yang mungkin menarik hati, apa-apa sahaja cerita suka duka, kisah-kisah mencuit hati tetapi berbekas di hati justeru pengajaran yang mampu kita perolehi bagi jiwa yang teliti dan perasaan yang tinggi sensitivitinya. 
 
 
Sudah bertahun-tahun saya terlibat dalam industri pelancongan & pengembaraan serta ibadat umrah. 
Berbagai-bagai ragam manusia saya telah ketemui, bermacam-macam perangai dan karenah, kehendak dan keinginan, penerimaan dan penolakan. Ah, biasalah kan rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. 
Itu adalah ungkapan yang biasa kita dengar. 
Kita hanya mampu berbicara atau menghukum dari lahiriah atau luaran sahaja, itupun bagi sesiapa yang suka atau berkencederungan menghukum atau memberi pandangan ataupun kesimpulan terhadap diri orang lain. 
Namun apa yang ada di dalam hati mereka (batiniah) kita kembalikan sahaja kepada Allah swt. 
Justeru Dia sahaja yang mengetahui apa yang dizahirkan oleh manusia dan apa yang disembunyikan jauh di sudut hati.



Pengalamanlah yang mengajar manusia menjadi dewasa. 
Bukankah dikatakan pengalaman itu adalah "Guru" yang sebenarnya? Persoalannya sejauh manakah apa yang kita telah tempuhi dan lalui itu benar-benar mengajar kita? 
Benar-benar mendidik hati supaya menjadi lebih "sedar" tentang maksud dan tujuan keberadaan diri kita di dunia "Fanaa" ini? 
Sebanyak manakah pengajaran atau iktibar yang telah kita rumuskan lalu menjadi panduan yang memimpin kita untuk menjadi seorang "Manusia" yang lebih memahami hakikat sebuah kehidupan yang dipinjamkan kepada kita?



Saya pernah mengenali beberapa orang yang sering keluar negara menyertai pakej-pakej pelancongan yang dianjurkan oleh syarikat kami. 
Mereka telah mengembara ke banyak destinasi & negara, termasuk ke negara-negara yang saya sendiri tidak pernah kunjungi.
Ribuan ringgit mungkin telah dikorbankan bagi menyertai pakej-pakej pelancongan ini. 
Terdapat juga di kalangan mereka yang setiap tahun mengerjakan ibadat umrah di tanah suci. 
Ada juga yang menghabiskan sebulan Ramadhan di Madinah & Mekah. 
Namun yang menyedihkan saya, walaupun banyak wang ringgit, tenaga dan masa dihabiskan, sikap dan perangai masih sama. 
Tidak ada peningkatan, perubahan, tetap sama malahan lebih buruk dari yang sebelumnya. Saya sering bertanya diri sendiri, untuk apa mereka mengembara, melancong, ke tanah suci saban tahun? 
Apa niat mereka? 
Apa tujuan mereka? 
Apa yang mereka cari sebenarnya? 
Ataukah disebabkan mereka ke luar negara sekadar meluangkan masa? 
Atau disebabkan mereka berkemampuan berbuat sedemikian? 
Di penghujungnya saya tidak menemui jawapan. 
Justeru apa yang tersembunyi di dalam hati, itu bukan kerja saya. 
Itu kerja Allah swt.



Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, daripada  Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihe wasallam telah bersabda yang bermaksud: 
"Sesungguhnya semua amalan itu bermula dengan niat Sesunggunya seseorang itu akan memperolehi (ganjaran/pahala) berdasarkan apa yang diniatinya. 
Maka barangsiapa hijrahnya kerana Allah swt dan RasulNya maka ia akan memperolehi ganjaran dari Allah dan RasulNya. 
Barangsiapa berhijrah kerana dunia, maka dunia itu akan diperolehinya ataupun jika beliau berhijrah kerana untuk mengahwini seorang wanita maka dia akan mengahwini wanita itu. 
Maka sesungguhnya ganjaran hijrahnya bergantung kepada niat apa dari hijrahnya."
 
 

No comments:

Post a Comment