Bismillaahi ‘alaa diinii wanafsii wawaladii wa-ahlii wamaalii


Dengan nama Allah, (aku memohon perlindungan) mengenai agamaku, hidupku, anak-anakku, keluargaku



WOW!

Tuesday, August 24, 2010

UMAT ISLAM DIGESA ZIARAH BAITULMAQDIS

KUALA LUMPUR, 22 Jan - Umat Islam di seluruh dunia digesa menziarah Baitulmaqdis di mana terletaknya Masjid Al-Aqsa sebagai tanda sokongan moral terhadap penduduk Palestin yang menetap di situ dan kini ditindas rejim Israel.
Mufti Besar Baitulmaqdis, Sheikh Muhammad Ahmad Hussein berkata, aktiviti penindasan yang bertujuan menghalau penduduk Palestin dari situ dilakukan dengan pelbagai cara termasuk meroboh rumah dan menghalang mereka mendapatkan makanan untuk keluarga.
“Saya merayu supaya Baitulmaqdis tidak diketepikan. Kalau boleh lakukan aktiviti ziarah secara terus menerus kerana ia tempat bersejarah sebagai kiblat pertama umat Islam.
“Umat Islam juga perlu membuang tanggapan bahawa dengan menziarah Baitulmaqdis kita seolah-olah mengiktiraf Israel yang telah menjajahnya sejak 1967,” katanya pada sidang akhbar melawat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid dan Duta Palestin ke Malaysia, Abdul Elaziz Abu Ghoush.
Sebelum itu, Muhammad membacakan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM.
Kerajaan Malaysia membenarkan rakyat negara ini melawat Baitulmaqdis atau juga dikenali dengan nama Al-Quds atau Jerusalem selama dua minggu sejak termeterai rundingan damai antara Palestin dan Israel pada 1994.
Israel sejak 1967 telah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya. Langkah ini tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa yang terus mengganggap Tel Aviv sebagai ibu negara yang sah.
Menurut Muhammad, penduduk Palestin akan terus bersabar dan kekal menetap di Baitulmaqdis bagi memastikan rejim Israel tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk memusnahkan tempat suci Islam di situ.
“Keadaan kini agak genting berikutan terdapat cubaan rejim untuk meruntuhkan tempat suci Islam termasuk Masjid Al-Aqsa bagi membolehkan rumah ibadat Yahhudi dibina,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad berterima kasih kepada rakyat dan kerajaan Malaysia yang dianggapnya sebagai saudara kerana terus membantu penduduk Palestin.
“Rakyat dan kerajaan Malaysia selalunya akan memberi bantuan tanpa perlu kita meminta. Inilah semangat yang saya lihat wujud dari dahulu hingga sekarang,” katanya.
Beliau berkata, sokongan dari segi pendidikan turut terbukti apabila terdapat kira-kira 750 pelajar Palestin yang menuntut di universiti seluruh Malaysia termasuk lebih 50 orang di UIAM.
“Kita juga berterima kasih kepada UIAM kerana membenarkan pelajar Palestin membayar yuran pada kadar yang rendah sama seperti yang dibayar pelajar Malaysia,” ujarnya.




Sumber : Utusan Malaysia, Januari 2010

No comments:

Post a Comment