Sejak dari dahulu saya amat merindui untuk ke Al-Aqsa, menyusuri jejak-jejak isra’ dan mikraj yang ditinggalkan junjungan kekasih Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang terlalu agung kisahnya, amat mulia iktibarnya dan amat kaya dengan tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah swt. Dalam perjalanan yang tidak tergapai kefahaman mengenainya oleh kecetekan akal manusia, Rasulullah sallallahu ’alihe wasallam menemui penciptanya dan pencipta segala yang wujud dalam maya ini lalu difardhukan ke atas umatnya solat lima waktu. Satu-satunya perintah Allah swt yang diterima baginda langsung dari Allah swt tanpa perantaraan malaikat Jibrail alaihe salam.
Solat dan iman amat akrab hubungannya. Kejayaan iman seorang muslim bergantung sejauh mana beliau menjaga solatnya dan Allah swt bersaksi bahawa hanya orang-orang yang memakmurkan rumah-rumahNya (masjid-masjid) dengan segala bentuk ibadah adalah orang-orang yang benar-benar beriman dengan Allah swt dan hari akhirat.
Al-Bukhari telah memperuntukkan satu bab khusus bagi hadis yang menceritakan tentang solat Rasulullah sallallahu ’alaihe salam dan kaum muslimin yang berkiblatkan Baitulmaqdis bahawa solat mereka tidak sia-sia walaupun setelah Allah swt memerintahkan RasulNya bersolat berkiblatkan Ka’abah di Mekah.
Allah swt berfirman yang bermaksud; ”....Allah sekali-kali tidak akan mempersia-siakan imanmu...” (Al-Baqarah: 143) Maksud ayat ”mempersia-siakan imanmu” ialah ”mempersia-siakan solatmu” . Ayat ini menunjukkan solat itu adalah tanda iman.
Al-Bukhari telah berkata pada penghujung hadis, daripada Al-Baraa’; bahawa telah mati kaum lelaki dan ada yang dibunuh di mana mereka termasuk ke dalam golongan mereka yang bersolat berkiblatkan Baitulmaqdis, lalu kami tidak tahu apakah yang kami patut katakan mengenai mereka.” Lalu Allah swt menurunkan ayat: ”....Allah sekali-kali tidak akan mempersia-siakan imanmu...” (Al-Baqarah: 143) Maksudnya, Allah swt sekali-kali tidak akan mempersia-siakan ganjaran pahala solatmu.
Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam juga meminta umatnya untuk bersaksi di atas keimanan seorang lelaki yang sentiasa berulang-alik ke masjid mengerjakan solat berjemaah, bahawa si fulan itu adalah benar-benar seorang yang beriman. Terlalu besar kesan solat sehinggakan di padang mahsyar Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam akan hanya mengenali umatnya melalui cahaya yang terpancar dari anggota-anggota wuduknya!!
Maka peristiwa Isra’ dan Mikraj itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan penting dalam perjalanan hidup seorang muslim dan muslimah di alam dunia yang sementara ini. Natijah dari perjalanan itu, Allah swt memberkati lokasi dan kawasan sekitar berlakunya peristiwa agung tersebut. Dari Masjidil Al-Haram di Mekah Al-Mukarramah hinggalah ke Al-Aqsa yang diberkati bumi di sekelilingnya – merangkumi Jordan, Syria, Lubnan, Palestin dan Al-Quds (Baitulmaqdis) sendiri.
Perjalanan ke Al-Aqsa di Baitulmaqdis adalah perjalanan iman demi menyambut seruan dan anjuran Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam lewat sabda Baginda yang bermaksud , ”...tidak diharuskan mengadakan perjalanan (untuk menunaikan nazar) melainkan kepada tiga buah masjid; Masjidku ini, Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa..” (riwayat Abu Hurairah ra seperti yang dikeluarkan oleh Al-Bukhari daripada Ali bin Al-Madini dan diriwayatkan oleh Muslim daripada ’Amru bin An-Naqid – kedua-dua riwayat daripada Sufyan bin ’Uyainah daripada Az-Zuhri daripada Sa’ed bin Musaiyyib daripada Abu Hurairah ra).
Terdapat 7 riwayat yang sama seperti hadis di atas yang memperjelaskan kelebihan ketiga-tiga buah masjid yang terdapat di seluruh alam. Kelebihan dan keistimewaan ini adalah disebabkan masjid-masjid ini mempunyai perkaitan rapat dengan Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam dan kelebihan dari solat yang dikerjakan di dalamnya.
Telah diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam kitab Sunannya, Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam telah bersabda yang bermaksud, ”Barangsiapa bertalbiah untuk mengerjakan haji atau umrah dari Masjid Al-Aqsa ke Masjid Al-Haram, Allah mengampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang,” ataupun ”diwajibkan syurga untuknya.”
Manakala di dalam kitab Sunan Ibnu Majah, baginda bersabda, ”Barangsiapa bertalbiah untuk mengerjakan umrah dari Baitulmaqdis, maka adalah kafarah bagi dosa-dosa yang dilakukannya sebelum itu.” Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhu telah berihram dari Masjid Al-Aqsa. Begitujuga dengan anaknya, Abdullah bin Umar radhiallahu anhu.
Bersambung..................
AHMAD JAZREE JAZRAN – 8 TAHUN PENGALAMAN DALAM MENGENDALIKAN PELANCONGAN DI TIMUR TENGAH – PERNAH MENETAP & BELAJAR DI SYRIA 7 TAHUN.
No comments:
Post a Comment