Bismillaahi ‘alaa diinii wanafsii wawaladii wa-ahlii wamaalii


Dengan nama Allah, (aku memohon perlindungan) mengenai agamaku, hidupku, anak-anakku, keluargaku



WOW!

Thursday, July 29, 2010

Al-Quds Bumi Mikraj Rasulullah saw -Pengantar buku "Baitulmaqdis (Al-Quds) Antara Kelebihan dan Kezaliman Zionis

Segala puji dan puja bagi Allah SWT Yang Memiliki semua kesempurnaan dan Maha Suci dari segala kekurangan. Dialah Yang telah mengurniakan kepada hamba-hambaNya nikmat Iman dan Islam lalu menamakan mereka muslimin dan mukminin. Dia Yang Memuliakan dan Dia juga Yang Menghinakan. Justeru kemuliaan dan kehinaan itu berada di dalam kekuasaanNya.


Selawat dan salam ke atas Rasul pilihan dan penutup risalah samawiah agama yang diwahyukan; Muhammad sallallahu alaihe wasallam, pembawa obor hidayah yang menyinari kegelapan kesesatan dan penjelas syariat Allah swt yang mulia yang menyingkap tabir kejahilan. Suri teladan kehidupan ibarat lampu-lampu menerangi jalan yang dilalui oleh setiap individu agar ianya menyampaikan kepada matlamat yang satu; iaitu keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat. Begitujuga ke atas ahli keluarga dan para sahabatnya seorang orang-orang yang mengikuti mereka hinggalah ke hari kiamat.

Umat Islam ini sudah terlalu banyak berbicara, berbincang, berdebat, bermuktamar dan berbagai-bagai pertemuan yang diatur dan dirancang seterusnya dilaksanakan bagi berdiskusi dan berbentang-bentangan kertas kerja bertemankan satu misi: Iaitu mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh umat Islam kini!!! Namun, masa beredar dan terus beredar. Kertas-kertas kerja yang dibentangkan dan diperbahaskan telahpun berkeliling menziarahi setiap inci bumi yang didiami umat Islam, dibaca oleh setiap individu yang tidak buta huruf – direnung maknanya dan difahami apa yang tersurat dan tersirat. Ada muktamar kecil, ada yang sederhana dan ada juga yang besar-besar dan gah! Namun natijahnya masih di takuk lama.

Tasawwur Islami ataupun teori-teori dan falsafah serta hikmat yang dikandung oleh syariat Islam telahpun mencapai kemuncak kesempurnaannya; justeru ia telahpun difikiri dan disalin ke dalam bentuk tulisan, diedar di merata dunia dari satu generasi ke generasi yang lain khususnya sejak dua atau tiga puloh tahun kebelakangan ini. Setiap masa para cerdik Islam bangun dengan kertas kerja dan buku masing-masing. Cadangan demi cadangan dikemukakan. Buah-buah fikiran baru dilontarkan di hadapan umat Islam. Tetapi sayang lontaran ini tidak disambut  justeru cadangan itu hanyalah teori dan retorik semata amat sukar dilaksanakan – lantaran tidak menyentuh akar umbi permasalahan. Seorang yang tidak bersolat bukan kerana ia tidak mengetahui bagaimana cara bersolat, tetapi kerana umbi keimanannya goyah dan keyakinan akan kewujudan alam akhirat itu amat lemah sekali. Antara yakin dengan tidak, antara percaya dan tidak percaya!

Masalahnya di peringkat asas. Apabila asasnya lemah, maka lemahlah segala-gala yang dibina di atasnya. Apabila asas sesuatu bangunan lemah, maka kedudukan bangunan tersebut dalam keadaan bahaya. Bila-bila masa boleh runtuh menyembah bumi. Asas dalam agama Islam ialah keimanan dan amalan. Amal tidak diterima tanpa iman. Berimana tanpa amal, tidak membuktikan keimanan yang sebenarnya. Orang-orang Munafik di Madinah di zaman Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam  beriman pada bibir tidak di dalam hati. Solat mereka kerjakan tetapi cumlah kerana riya dan sebagai penyelimut bagi kemunafikan mereka.

Dalam kekalutan itu, kita mungkin akan mendengar suara-suara sumbang yang melaungkan bahawa kemuliaan dan ketinggian umat Islam adalah dengan memiliki segala bentuk kebendaan, kekuatan ekonomi, persenjataan dan segala kekayaan duniawi. Bersama teknoloji dan kemajuannya!

Sememangnya Islam tidak pernah menafikan harta kekayaan dan kekuatan. Islam tidak pernah menafikan pembaharuan teknoloji dan kemodenan. Bahkan kesemuanya itu termasuk dalam hukum fardhu kifayah dalam syariat agama Islam yang murni dan sempurna.

Namun permasalahannya, kemajuan dan kemodenan itu mestilah berada di dalam acuan Islam bukannya dalam acuan barat. Kemajuan kebendaan (material) mestilah seiring dengan kemajuan rohani (spiritual), bahkan kemajuan kerohanian itu mestilah lebih jauh ke hadapan menjangkau semua batasan dan sempadan, justeru dengannya perhubungan seseorang hamba dengan pencipta (Kholiq) nya Allah swt akan menjadi mantap dan erat.

Apaila wujud perhubungan sedemikian, perintah-perintah Allah swt akan menjadi panduan utamanya dalam menjalankan setiap aktiviti kehidupannya. Keredhaan Allah swt akan menjadi tuntutannya. Agama Islam akan menjadi perjuangannya. Penyelesaian kepada semua permasalahan ini hanyalah satu. Umat Islam mestilah kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kembali menghayati Islam sebagai Ad-Din (agama sebagai cara hidup). Perintah-perintah Allah swt mestilah ditegakkan dan diamalkan dalam setiap ruang kehidupan tanpa berkecuali! Hanya dengan itu umat Islam akan dimuliakan oleh Allah swt.

Kita renungi kembali, zaman-zaman emas yang dilalui oleh para sahabat radhiallahu anhum. Bilangan mereka sedikit. Bukannya ramai. Namun 2/3 dunia di bawah tapak kaki mereka. Dua kuasa ketika itu; Rom dan Parsi hancur lebur di hujung pedang. Tidak ada kekayaan ”petrol” namun kemuliaan dan ketinggian dimiliki. Digeruni musuh dan dihormati oleh kawan. Mengapa? Kerana mereka menjadikan agama itu sebagai matlamat kehidupan mereka. Cinta kepada Allah swt dan RasulNya sallallahu ’alaihe wasallam semarak dalam hati; justeru itu jiwa dikorbankan demi melihat agama yang mulia ini tersebar di seluruh alam, dianuti dan dihayati.

Kembali kepada agama, beramal dengan kitab allah swt dan sunnah Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam adalah dos mujarab bagi mengubati segala rupa penyakit yang dideratai oleh umat. Ini termasuklah, masalah bumi Palestin yang tidak berkesudahan seawal tahun 1948 lagi. Batu yang dilemparkan ke arah Yahudi tidak dilemparkan dengan penuh keimanan di dada (bahkan lebih dengan semangat nasionalisma dan tanah) dan amalan Islam dengan anggota! Cergas dan berani dalam membuat lontaran. Manakala umat Islam di seluruh dunia berbuih mulut mengutuk si Yahudi laknat – Namun mengapa masjid-masjid dibiarkan kosong? Mana dakwah? Mana Solat? Mana Zikrullah? Mana Tilawah Al-Quran? Mana Istighfar? Mana Tasbih? Mana Tahmid? Mana Munajat?. Tiada. Fikirkanlah. Kita rasa kita dekat dengan Allah swt? Tapi menjauhkan rahmatNya dari kita? Kenapa? Mengapa????

Segala kesilapan yang ditemui dalam buku ini diharapkan teguran ikhlas.

Buku ini terjemahan dari kompilasi artikel berbahasa Arab yang berikut:

  1. ”Baitul Maqdis wal Masjid Al-Aqsa” – karangan Muhammad Hassan Syurab, terbitan Darul Qalam, Halbuni, Damsyik, Syria 1194.
  2. ”Al-Isra’ wa M’raj” – karangan Kholid Saiyyid Ali, terbitan Maktabah At-Thuras wal Iman, Kuwait 1998.
  3. ”Fadha’il Baitil Maqdis” – karangan Al-Imam Al-Hafiz Dhiyauddin Muhammad bin Abdul Wahid Ahmad Al-Maqdisi Al-Hanbali terbitan Darul Fikir, Damsyik, Syria 1988
  4. ”Makanatul Quds fil Al-Adyan As-Samawiah” – karangan Professor Ad-Doktor Wahbah Az-Zuhaili, terbitan Darul Maktabi. Damsyik, Syria 2001
  5. ”Baitul Maqdis” karangan Ala’uddin Tuaimah.



No comments:

Post a Comment