Bismillaahi ‘alaa diinii wanafsii wawaladii wa-ahlii wamaalii


Dengan nama Allah, (aku memohon perlindungan) mengenai agamaku, hidupku, anak-anakku, keluargaku



WOW!

Thursday, July 29, 2010

UMRAH ZIARAH (SYRIA/JORDAN/JERUSALEM)


Ketika membawa group saya ke Syria, Jordan, Jerusalem, Madinah & Mekah (Umrah).
Jajah & umminya turut sama menyertai group ini.

1 MAJLIS, 5 JURUGAMBAR

25 Julai yang lepas adalah hari ulangtahun kelahiran Wan.
Berikut adalah gambar-gambar yang diambil oleh bukan seorang, tapi lima jurugambar.

Jurugambar : Cik Lan


Jurugambar : Cik Lan


Jurugambar : Cik Lan


Jurugambar : Unknown


Jurugambar : Ummu, anak bongsu Cik Lan (mungkin)


Jurugambar : Unknown


Jurugambar : Zaki, anak ketiga Pak Long


Jurugambar : Zaki


Jurugambar : Jajah


Jurugambar : Cinderella (haha!)


Jurugambar : Unknown


Jurugambar : Unknown


Jurugambar : Cik Lan


Happy Birthday, Wan!
- kepada 'orang yang buat homemade pizza', ok, next time bila along buat frame ni lagi, along akan minta gambar yang cantik.....
- dan kepada yang tertanya-tanya kenapa ada gambar Gu Junpyo, ...................
- kepada Pak Long & Aunty Zai, terima kasih!

Jurugambar : Unknown


Jurugambar : Unknown


Jurugambar : Cinderella
p/s: Gambar-gambar yang 'Unknown', sila claim dengan saya.

BAITUL MAQDIS (AL QUDS) - ANTARA KELEBIHAN & KEZALIMAN ZIONIS


Salah satu buku yang saya terjemahkan ketika saya masih menuntut di Syria suatu ketika dulu.

Al-Quds Bumi Mikraj Rasulullah saw -Pengantar buku "Baitulmaqdis (Al-Quds) Antara Kelebihan dan Kezaliman Zionis

Segala puji dan puja bagi Allah SWT Yang Memiliki semua kesempurnaan dan Maha Suci dari segala kekurangan. Dialah Yang telah mengurniakan kepada hamba-hambaNya nikmat Iman dan Islam lalu menamakan mereka muslimin dan mukminin. Dia Yang Memuliakan dan Dia juga Yang Menghinakan. Justeru kemuliaan dan kehinaan itu berada di dalam kekuasaanNya.


Selawat dan salam ke atas Rasul pilihan dan penutup risalah samawiah agama yang diwahyukan; Muhammad sallallahu alaihe wasallam, pembawa obor hidayah yang menyinari kegelapan kesesatan dan penjelas syariat Allah swt yang mulia yang menyingkap tabir kejahilan. Suri teladan kehidupan ibarat lampu-lampu menerangi jalan yang dilalui oleh setiap individu agar ianya menyampaikan kepada matlamat yang satu; iaitu keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat. Begitujuga ke atas ahli keluarga dan para sahabatnya seorang orang-orang yang mengikuti mereka hinggalah ke hari kiamat.

Umat Islam ini sudah terlalu banyak berbicara, berbincang, berdebat, bermuktamar dan berbagai-bagai pertemuan yang diatur dan dirancang seterusnya dilaksanakan bagi berdiskusi dan berbentang-bentangan kertas kerja bertemankan satu misi: Iaitu mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh umat Islam kini!!! Namun, masa beredar dan terus beredar. Kertas-kertas kerja yang dibentangkan dan diperbahaskan telahpun berkeliling menziarahi setiap inci bumi yang didiami umat Islam, dibaca oleh setiap individu yang tidak buta huruf – direnung maknanya dan difahami apa yang tersurat dan tersirat. Ada muktamar kecil, ada yang sederhana dan ada juga yang besar-besar dan gah! Namun natijahnya masih di takuk lama.

Tasawwur Islami ataupun teori-teori dan falsafah serta hikmat yang dikandung oleh syariat Islam telahpun mencapai kemuncak kesempurnaannya; justeru ia telahpun difikiri dan disalin ke dalam bentuk tulisan, diedar di merata dunia dari satu generasi ke generasi yang lain khususnya sejak dua atau tiga puloh tahun kebelakangan ini. Setiap masa para cerdik Islam bangun dengan kertas kerja dan buku masing-masing. Cadangan demi cadangan dikemukakan. Buah-buah fikiran baru dilontarkan di hadapan umat Islam. Tetapi sayang lontaran ini tidak disambut  justeru cadangan itu hanyalah teori dan retorik semata amat sukar dilaksanakan – lantaran tidak menyentuh akar umbi permasalahan. Seorang yang tidak bersolat bukan kerana ia tidak mengetahui bagaimana cara bersolat, tetapi kerana umbi keimanannya goyah dan keyakinan akan kewujudan alam akhirat itu amat lemah sekali. Antara yakin dengan tidak, antara percaya dan tidak percaya!

Masalahnya di peringkat asas. Apabila asasnya lemah, maka lemahlah segala-gala yang dibina di atasnya. Apabila asas sesuatu bangunan lemah, maka kedudukan bangunan tersebut dalam keadaan bahaya. Bila-bila masa boleh runtuh menyembah bumi. Asas dalam agama Islam ialah keimanan dan amalan. Amal tidak diterima tanpa iman. Berimana tanpa amal, tidak membuktikan keimanan yang sebenarnya. Orang-orang Munafik di Madinah di zaman Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam  beriman pada bibir tidak di dalam hati. Solat mereka kerjakan tetapi cumlah kerana riya dan sebagai penyelimut bagi kemunafikan mereka.

Dalam kekalutan itu, kita mungkin akan mendengar suara-suara sumbang yang melaungkan bahawa kemuliaan dan ketinggian umat Islam adalah dengan memiliki segala bentuk kebendaan, kekuatan ekonomi, persenjataan dan segala kekayaan duniawi. Bersama teknoloji dan kemajuannya!

Sememangnya Islam tidak pernah menafikan harta kekayaan dan kekuatan. Islam tidak pernah menafikan pembaharuan teknoloji dan kemodenan. Bahkan kesemuanya itu termasuk dalam hukum fardhu kifayah dalam syariat agama Islam yang murni dan sempurna.

Namun permasalahannya, kemajuan dan kemodenan itu mestilah berada di dalam acuan Islam bukannya dalam acuan barat. Kemajuan kebendaan (material) mestilah seiring dengan kemajuan rohani (spiritual), bahkan kemajuan kerohanian itu mestilah lebih jauh ke hadapan menjangkau semua batasan dan sempadan, justeru dengannya perhubungan seseorang hamba dengan pencipta (Kholiq) nya Allah swt akan menjadi mantap dan erat.

Apaila wujud perhubungan sedemikian, perintah-perintah Allah swt akan menjadi panduan utamanya dalam menjalankan setiap aktiviti kehidupannya. Keredhaan Allah swt akan menjadi tuntutannya. Agama Islam akan menjadi perjuangannya. Penyelesaian kepada semua permasalahan ini hanyalah satu. Umat Islam mestilah kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kembali menghayati Islam sebagai Ad-Din (agama sebagai cara hidup). Perintah-perintah Allah swt mestilah ditegakkan dan diamalkan dalam setiap ruang kehidupan tanpa berkecuali! Hanya dengan itu umat Islam akan dimuliakan oleh Allah swt.

Kita renungi kembali, zaman-zaman emas yang dilalui oleh para sahabat radhiallahu anhum. Bilangan mereka sedikit. Bukannya ramai. Namun 2/3 dunia di bawah tapak kaki mereka. Dua kuasa ketika itu; Rom dan Parsi hancur lebur di hujung pedang. Tidak ada kekayaan ”petrol” namun kemuliaan dan ketinggian dimiliki. Digeruni musuh dan dihormati oleh kawan. Mengapa? Kerana mereka menjadikan agama itu sebagai matlamat kehidupan mereka. Cinta kepada Allah swt dan RasulNya sallallahu ’alaihe wasallam semarak dalam hati; justeru itu jiwa dikorbankan demi melihat agama yang mulia ini tersebar di seluruh alam, dianuti dan dihayati.

Kembali kepada agama, beramal dengan kitab allah swt dan sunnah Rasulullah sallallahu ’alaihe wasallam adalah dos mujarab bagi mengubati segala rupa penyakit yang dideratai oleh umat. Ini termasuklah, masalah bumi Palestin yang tidak berkesudahan seawal tahun 1948 lagi. Batu yang dilemparkan ke arah Yahudi tidak dilemparkan dengan penuh keimanan di dada (bahkan lebih dengan semangat nasionalisma dan tanah) dan amalan Islam dengan anggota! Cergas dan berani dalam membuat lontaran. Manakala umat Islam di seluruh dunia berbuih mulut mengutuk si Yahudi laknat – Namun mengapa masjid-masjid dibiarkan kosong? Mana dakwah? Mana Solat? Mana Zikrullah? Mana Tilawah Al-Quran? Mana Istighfar? Mana Tasbih? Mana Tahmid? Mana Munajat?. Tiada. Fikirkanlah. Kita rasa kita dekat dengan Allah swt? Tapi menjauhkan rahmatNya dari kita? Kenapa? Mengapa????

Segala kesilapan yang ditemui dalam buku ini diharapkan teguran ikhlas.

Buku ini terjemahan dari kompilasi artikel berbahasa Arab yang berikut:

  1. ”Baitul Maqdis wal Masjid Al-Aqsa” – karangan Muhammad Hassan Syurab, terbitan Darul Qalam, Halbuni, Damsyik, Syria 1194.
  2. ”Al-Isra’ wa M’raj” – karangan Kholid Saiyyid Ali, terbitan Maktabah At-Thuras wal Iman, Kuwait 1998.
  3. ”Fadha’il Baitil Maqdis” – karangan Al-Imam Al-Hafiz Dhiyauddin Muhammad bin Abdul Wahid Ahmad Al-Maqdisi Al-Hanbali terbitan Darul Fikir, Damsyik, Syria 1988
  4. ”Makanatul Quds fil Al-Adyan As-Samawiah” – karangan Professor Ad-Doktor Wahbah Az-Zuhaili, terbitan Darul Maktabi. Damsyik, Syria 2001
  5. ”Baitul Maqdis” karangan Ala’uddin Tuaimah.



Monday, July 26, 2010

DI PETRA, JORDAN

Bersama antara salah satu group yang melancong bersama Harmony Vacation (Program Safir Go Travel) 2010


JAJAH & SUPNYA






Anda tertanya mampukah Jajah menghabiskan supnya? Ya, sup Jajah habis dengan sedikit bantuan daripada babahnya.

SYRIA BUMI ANBIYA'

SYRIA BUMI ANBIYA YANG DIBERKATI DOA SEMULIA-MULIA MAKHLUK


Keistimewaan dan keseronokan hidup di Syria hanya boleh digambarkan oleh mereka yang pernah menjadi penghuninya. Keramahan dan kehalusan budi pekerti penduduknya, meriahnya setiap masjid di setiap waktu solat, barang-barang yang murah, buah-buahan yang berbagai jenis, alim ulama yang tawaduk, madrasah-madrasah yang tak pernah sunyi dihuni oleh pelajar-pelajar dari seluruh pelusuk dunia (termasuklah pelajar-pelajar dari Malaysia seramai 300 orang) menjadi saksi keberkatan sebahagian bumi yang telah menerima pengormatan doa semulia-mulia makhluk Allah swt lewat hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam yang bermaksud; “Wahai Allah, berkatilah Syam kami.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan At-Tirmidzi) Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam; “Wahai Rasulullah, jika tiada keamanan di dunia ini lagi, ke manakah harus kami pergi?” Rasulullah menjawab; “ ‘Alaikumu bi as-syam” (hendaklah kamu pergi ke bumi Syam). “Syam” pada makna literal bahasa Arab bermaksud “Syria” namun ia termasuk juga kawasan negara Jordan moden pada hari ini. Apabila anda berada di mana-mana negara teluk , sekiranya ditanyakan pada anda, “Anda ingin ke Syam?” maka yang dimaksudkan oleh si penanya itu ialah Syria. Sekiranya pula anda berada di mana-mana Bandar di Syria, Syam yang dimaksudkan mereka ialah kota Damascus atau Damsyik. Namun agak menghairankan, setelah menerima keberkatan doa Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam masa ada orang yang takut-takut untuk ke Syria.



SEBAIK-BAIK BUMI UNTUK DIDIAMI

Imam Ahmad dan At-Tirmidzi telah meriwayatkan daripada Zaid bin Tsabit radhiallahu anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihe wasallam telah bersabda (maksudnya); “Kebahagiaan untuk penduduk Syam.” Ditanyakan kepada Rasulullah; “Ya Rasulullah, bagaimanakah yang sedemikian itu berlaku?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya malaikat-malaikat Allah menebarkan sayap-sayap mereka ke atasnya (bumi Syam).” Telah diriwayatkan oleh Al-Hafidz Yahya bin Thiba’ah dan At-Tabarani daripada Wasilah bin Al-Ashqa’ katanya; “Aku telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam bersabda kepada Huzaifah dan Mu’az tatkala kedua-dua sahabat itu meminta pandangan Rasulullah tentang sebaik-baik tempat untuk didiami, maka baginda telah memberi isyarat ke arah Syam seraya bersabda; “Hendaklah kamu menetap di Syam justeru sesungguhnya ia negeri pilihan Allah yang dihuni oleh makhluk-makhlukNya yang baik dan sesungguhnya Allah memberi jaminan kepadaku terhadap Syam dan penduduknya.” Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Mu’awiyyah bin Abi Sufyan radhiallahu anhuma bahawa di dalam khutbahnya beliau telah berkata; “Aku telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam bersabda; “Berterusanlah terdapat di kalangan umatku, segolongan manusia yang berjuang menegakkan perintah Allah di mana tidaklah memudaratkan mereka sekalipun orang lain meninggalkan mereka tanpa sebarang bantuan dan orang-orang yang menentang mereka juga tidak mampu mendatangkan sebarang kemudaratan ke atas mereka hinggalah datang keputusan Allah (hari kiamat) sedang mereka kekal dalam keadaan sedemikian.” Malik bin Yakhomir (salah seorang tabi’in yang ulung) telah berkata kepada Mu’awiyyah; “Aku telah mendengar Mu’az bin Jabal radhiallahu anhu berkata; “Mereka berada di Syam.” Imam Ahmad juga telah meriwayatkan daripada Abu Ad-Darda’ radhiallahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam bersabda (maksudnya); “Tempat berlindung orang-orang Islam pada hari pertempuran itu adalah di Ghutah berhampiran sebuah kota yang dipanggil orang “Damsyik Al-Syam” yang merupakan sebaik-baik kota di bumi Syam.” Imam Ahmad juga telah meriwayatkan di dalam kitab Musnadnya daripada Abu Ad-Darda’ radhiallahu anhu katanya; “Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam telah bersabda (maksudnya); “Tatkala daku tidur, aku telah melihat helaian-helaian Al-Kitab (Al-Quran) melayang-layang dari bawah kepalaku dan daku menyangka bahawa ia dibawa pergi lalu aku mengekorinya dengan pandangan mataku. Namun daku dapati ia menghala ke Syam. Ketahuilah sesungguhnya iman itu tatkala berlakunya berbagai fitnah berada di Syam.” At-Tabarani dan Al-Hakim telah meriwayatkan daripada Abu Umamah radhiallahu anhu daripada Nabi sallallahu ‘alaihe wasallam yang telah bersabda; “As-Syam adalah antara negeri pilihan Allah, di sanalah orang-orang terpilih dari kalangan hamba-hambaNya berlindung. Maka barangsiapa lari dari Syam ke tempat lain maka ia keluar dengan kemurkaan dan barangsiapa memasukinya maka ia memasukinya dengan rahmat.”



BUMI YANG DIBERKATI ALLAH SWT



Allah swt telah berfirman di dalam surah Al-Isra’ ayat pertama (maksudnya); “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihe wasallam) pada suatu malam dari Al-Masjid Al-Haram ke masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan bumi yang subur, tanam-tanaman, buah-buahan, tempat ramai Nabi dan Rasul diutus dan tempat turunnya para malaikat) agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. SesungguhNya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Bumi yang Allah berkati di sekelilingnya itu termasuklah Syria. Keselamatan di sini adalah terjamin di mana sekiranya anda keluar berjalan berseorangan di waktu dinihari, tiada siapa yang menganggu. Bagaimana tidak, sepuluh peratus dari penduduknya adalah polis rahsia yang tidak memakai seragam.



Sejak bertahun-tahun berada di Syria dan hinggalah ke hari ini, amat jarang kedengaran berlakunya kejadian rompakan, ragut, rusuhan, pembunuhan, rogol dan lain-lain perbuatan jenayah sadis. Walaupun Syria diasak oleh serangan provokasi oleh musuh-musuh Islam namun ia tetap utuh dan aman. Peperangan di Iraq tidak pernah mengugat lenanya tidur di malam hari. Kekejaman Zionis di Palestin dipaparkan setiap malam di kaca televisyen sejak sekian lama namun penduduk Syria sudah lali dengan semuanya itu. Namun demikian, bumi yang pernah diinjak oleh kaki-kaki mulia para Anbiya dan Rasul Allah swt ini dan menyimpan jasad-jasad suci mereka, tetap damai dan tenang setenang aliran sungai Barada yang mengalir lesu di tengah-tengah Bandar Damsyik. Gunung Qasiyun yang menjadi latarbelakang kota Damsyik adalah saksi kepada rentetan peristiwa yang pernah berlaku di atasnya dan juga di kota Damsyik. Di atas gunung inilah berlakunya pembunuhan pertama di dunia tatkala Qabil membunuh adiknya yang bernama Habil lantaran kurban yang disyaratkan oleh bapanya nabi Adam ‘alaihe salam untuk membolehkan salah seorang dari mereka menentukan pilihannya sendiri untuk mengahwini salah seorang dari kedua-dua adik perempuan mereka; Iqlima yang lebih cantik atau Lubuda yang hodoh tidak diterima Allah swt. Walaupun Adam ‘alaihe salam telah menentukan jodoh si Qabil adalah Lubuda. Hanya kurban Habil yang diterima Allah swt natijah keikhlasannya memberikan yang terbaik dari kambing ternaknya sedangkan Qabil menyuakan hasil tanamannya yang rosak dan buruk. Lalu perasaan cemburu dan dengki itu mendorong beliau membunuh adiknya sendiri. Sesungguhnya perebutan terhadap seorang wanita menjadi titik tolak kepada pembunuhan itu dan wanita-wanita yang cantik itu jugalah yang menjadi penghias kota Damsyik pada hari ini! Jika anda berada di Syria, makam Habil boleh diziarahi di kawasan pergunungan Zabadani mengadap perlembahan Barada yang subur dengan ladang-ladang anggur, apricot, zaiton, tin dan oren. Berdiri di sini sejenak, imbaukan peristiwa tragis itu, bisikkan pada nurani anda sendiri; “Betapa sejarah itu harus dikutip dan diambil iktibarnya.” Di musim sejuk pula kawasan pergunungan di sini memutih diliputi salji.



BUMI SYRIA MENYIMPAN JASAD MULIA PARA ANBIYA, SAHABAT DAN PEJUANG ISLAM TERSOHOR

Bumi Syria menyimpan jasad-jasad mulia para Nabi dan Rasul antaranya ialah Nabi Yahya (di dalam masjid Umawi di kota Damsyik), Nabi Ayob (di Nawa), Nabi Zakaria (di dalam masjid Umawi di Allepo) dan Nabi Dzulkifli (di gunung Qasiyun) ‘alaihemussalam. Makam-makam mereka boleh diziarahi apabila anda berada di Syria. Begitujuga di tanah perkuburan Bab As-Saghir di Damsyik, makam-makam ahli keluarga Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam termasuk isteri-isteri baginda ummahatul mukminin iaitu Ummu Habibah dan Ummu Salamah, Sakinah bin Ali bin Abu Talib, para sahabat (Bilal Ar-Rabah, Mu’awiyyah, Ibnu Ummi Makhtum), para syuhada peperangan Karbala dan ahli sejarah dan Ilmu Islam Ibnu Asakir boleh diziarahi. Lain-lain sahabat Rasulullah yang dikebumikan di Damsyik ialah Abu Ad-Darda dan Dihyah Al-Kalbi (di mana sering malaikat Jibrail menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam dengan menyerupai rupa beliau), di Homs terdapat Masjid Khalid Al-Walid radhiallahu anhu di mana di dalamnya terdapat makam beliau. Di Damsyik juga terdapat makam Zainab dan Ruqaiyah, kedua-duanya adalah anak perempuan Ali bin Abu Talib radhiallahu anhu. Di bab As-Saghir juga dikebumikan khalifah Umaiyyah, Abdul Malik bin Marwan dan anak beliau Walid bin Abdul Malik yang telah membina Masjid Umawi di Damsyik. Di zaman Walid-lah, pemerintahan Islam berkembang luas di sebelah timur sehingga ke India dan di dunia Eropah sehingga ke Sepanyol. Beliau juga memerintahkan agar masjid Al-Haram di Mekah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di bina dan diperbaiki semula. Walid telah berkata; “Wahai penduduk Damsyik, aku melihat kamu berbangga-bangga dengan empat perkara; cuaca kota kamu ini, air dan buah-buahannya dan tempat-tempat mandinya (hammam), dan aku ingin menambahkan perkara yang kelima iaitu masjid ini (masjid Umawi).”



Syria mengalami cuaca Mediterranean yang sederhana, 4 musim dan langit yang tidak berawan pada sebahagian besar dalam setiap tahun. Cuaca di musim luruh (September hingga November) adalah antara 20-25 celsius, 30 celsius dalam musim panas dan 5-10 celsius dalam musim sejuk. Cuaca dalam musim sejuk agak sederhana dengan salji biasanya turun dalam bulan Januari dan Februari. Kami sedia menyambut kedatangan anda di sana. Syria boleh dikunjungi di sepanjang tahun bagi mengalami cuaca empat musim negara laut Mediterranean ini. Di kota Damsyik , air mineral dibekalkan ke setiap buah rumah melalui paip khas yang bersumber dari ‘Ein Al-Fijr 20 km dari luar kota Damsyik.



KOTA DAMSYIK PUSAT PENYEBARAN DAKWAH ISLAMIAH

Kota Damsyik juga menjadi salah satu kota dalam sejarah Islam yang menjadi pusat penyebaran dakwah Islam dan menjadi salah satu destinasi para penuntut menimba ilmu, khususnya ilmu yang bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadis. Damsyik telah melahirkan ramai para ilmuan Islam seperti Imam An-Nawawi (pengarang kitab Ridadusolihin, Al-Majmuk sebanyak 25 jilid, kitab penjelasan Sahih Muslim sebanyak 7 jilid dan lain-lain lagi) di mana makam beliau boleh anda ziarahi di Nawa, lebih kurang 145 km ke selatan kota Damsyik. Lain-lain ulama Damsyik antaranya ialah Ibnu At-Taimiyyah, Ibnu Asakir (Sejarawan Islam), Ibnu Malik (Ilmu Nahu dan Bahasa Arab), Ibnu Qaiyyim Al-Jauziah, Imaduddin Ibnu Kathir (Tafsir Ibnu Katsir), Muhyiddin Ibnu Arabi, Ibnu Khalakan dan ramai lagi. Kesemua makam mereka berada di Damsyik. Antara ulama Damsyik yang terkenal di peringkat antarabangsa dewasa ini ialah Dr Muhammad Sa’ed Ramadhan Al-Buthy (pengarang kitab Fiqh Sirah) dan Dr Wahbah Az-Zuhaily (pengarang kitab tafsir Al-Munir). Kedua-dua ulama ini memberikan kuliah dan khutbah mereka di beberapa masjid di Bandar Damsyik yang dihadiri oleh ribuan orang.







EMPAT KATEGORI TAPAK-TAPAK ZIARAH YANG DIMULIAKAN DALAM ISLAM

Terdapat empat kategori tempat-tempat ziarah yang dimuliakan dalam Islam, pertama yang disebut dalam bahasa Arab sebagai “Darih” di mana individu yang dimuliakan Allah swt seperti jasad Nabi atau sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam sebenar-benarnya dikebumikan. Kedua “Maqam” atau “shrine” dalam bahasa Inggeris di mana jasad seseorang individu itu tidak semestinya dikebumikan di situ tetapi beliau telah melawati atau menziarahi sesuatu tempat tersebut di masa hidupnya. Ketiga “Mawqi” (tempat) seperti gua Ashabul Kahfi dan keempat adalah tempat-tempat bersejarah “Mahal” yang dikaitkan kepada sesuatu peristiwa penting dalam agama Islam seperti medan peperangan Siffin (pertempuran antara pengikut Ali bin Abu Talib dan Mu’awiyyah bin Abu Sufyan radhiallahu anhuma) yang terdapat di Raqqah utara Syria atau medan peperangan Mu’tah di Jordan. Namun dewasa ini pengunaan makam dipergunakan secara umum untuk “Darih” dan juga “Maqam”.



MANFAAT MENZIARAHI TEMPAT-TEMPAT YANG DIMULIAKAN DALAM ISLAM

Allah swt berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud; “Dan (ketahuilah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian makam Ibrahim tempat bersolat.” (Al-Baqarah: 125) Dan firman Allah swt yang bermaksud; “Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) makam Ibrahim…” (Ali ‘Imran: 97) Tempat-tempat ziarah yang dimuliakan adalah sesuatu yang suci. Allah swt telah menciptakan banyak tempat sebegitu di atas permukaan bumi agar hati orang-orang yang beriman cenderung kepadanya untuk berdoa dan memohon rahmatNya. Manfaat-manfaat menziarahi tempat-tempat sebegini antaranya adalah agar orang yang berziarah merasa prihatin terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan keimanan, belajar tentang perjuangan dan pengorbanan para Nabi dan Rasul, para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam, alim ulama dan orang-orang soleh dan seterusnya menghargai jasa-jasa mereka. Menziarahi tempat-tempat yang dimuliakan ini adalah sunnah dan amalan yang disukai Allah swt. Allah swt berfirman dalam Al-Quran dengan rujukan terhadap perjalanan Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam di waktu baginda dibawa dari masjid Al-Haram di Mekah pada peristiwa Isra’ ke Baitulmaqdis yang bermaksud; ““Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihe wasallam) pada suatu malam dari Al-Masjid Al-Haram ke masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan bumi yang subur, tanam-tanaman, buah-buahan, tempat ramai Nabi dan Rasul diutus dan tempat turunnya para malaikat) agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami.” (Al-Isra: 1) Begitujuga dalam firmanNya dalam surah Al-Ahzab; “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah.” Dan firmanNya dalam surah As-Shafaat ayat ke 137dan 138 maksudnya; “….dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melalui (kesan-kesan peninggalan mereka) di waktu pagi dan di waktu malam, maka apakah kamu tidak memikirkannya?” Tambahan pula, Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam telah bersabda sebagaimana dalam hadis riwayat sahih Muslim (hadis no: 2375) bahawa baginda melihat Nabi Musa berdiri di dalam kuburnya bersolat tatkala baginda dibawa dari Mekah ke Al-Aqsa (dalam peristiwa Isra’). Makam-makam dan masjid-masjid para Nabi dan sahabat, orang-orang soleh dan alim ulama yang bertakwa adalah dimuliakan dan diberkati di mana Allah swt mengkabulkan doa-doa. Ulama Islam bersepakat mengatakan bahawa meziarahi tempat-tempat tersebut adalah disukai Allah swt. Al-Hafidz Ad-Dhabi dalam kitabnya “Siyar A’Lam An-Nubala’” mengenai kehidupan Nafisah As-Sharifa Al-Hasaniah; “Doa diterima di makamnya dan makam-makam para solihin.” Al-Qadhi Yusuf Al-Nabhani mengenai menziarahi makam sultan Mahmoud Nuruddin Az-Zinki di mana makam beliau terdapat di Damsyik, Sheikh Yusuf bin Ismail Al-Nabhaani (meninggal dunia dalam tahun 1350 Hijrah) menukilkan dalam kitabnya “Jami’ Karaamatul Aulia” bahawa berdoa di makam beliau mustajab dan telah dibuktikan oleh pengalaman ramai orang. Mengikut pendapat Al-Imam Al-Hafidz An-Nawawi (kitab Al-Majmu’) menziarahi kubur adalah dibolehkan kepada kaum lelaki walaupun pada permulaannya dilarang oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam dan kemudiannya ia dibenarkan apabila peraturan-peraturan agama menjadi lebih mantap dan teguh. Mengikut pendapat ulama, adalah digalakkan seorang yang berziarah itu datang hampir ke kubur serapat yang boleh seolah-olah ia menghampiri sahabatnya di waktu hidup. Mengikut pendapat Al-Imam An-Nawawi, kaum wanita tidak dilarang menziarahi kubur di dalam Islam tetapi dilarang menangis dan meraung.Dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim, apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam melihat seorang wanita menangis di sisi sebuah kubur baginda telah menyuruh wanita itu agar takutkan Allah swt dan bersabar tetapi tidak melarangnya menziarahi kubur. Apabila Aisyah radhiallahu anha bertanya kepada Rasulullah sallallahu’alaihe wasallam apakah yang patut diucapkannya di kubur, baginda menjawab; “(ucapkanlah) Keselamatan untuk kamu dan untuk orang-orang Islam di tanah perkuburan ini. Moga-moga Allah merahmati orang-orang yang lebih dahulu (meninggal dunia) dan orang-orang yang bakal menyusuli mereka.” Para ulama berpendapat, adalah lebih afdal orang yang berziarah mengucapkan doa keselamatan dan salam ini tatkala ia memasuki tanah perkuburan dan berdoa untuk si empunya kubur yang diziarahinya dan orang-orang lain yang dikebumikan di sana. Lebih banyak mengingati kematian dan lebih banyak menziarahi kubur membuatkan seseorang itu lebih menginsafi akan dirinya dan lebih bermotivasi mempersiapkan bekalan ke alam akhirat dengan iman serta yakin dan amal soleh. Seseorang itu boleh menziarahi kubur samada berdiri, duduk atau sekadar melewatinya dan mengikut pendapat beberapa ulama adalah afdal ia berdiri mengadap ke arah si mati dengan membelakangi kiblat tanpa menyentuh, mencium dan mengusap makam tersebut.Duduk di atas kubur adalah makruh dalam agama Islam. Dalam sahih Muslim, dalam riwayat Abu Hurairah radhiallahu anhu, Nabi Sallallahu ‘alaihe wasallam telah bersabda (maksudnya); “Duduk di atas bara yang akan membakar pakaian seseorang dan meratah kulitnya adalah lebih baik dari duduk di atas kubur.” Begitu juga dengan memijaknya. Oleh itu, menziarahi tempat-tempat yang dimuliakan dan makam-makam para Nabi, sahabat dan orang-orang soleh adalah amalan yang disahkan oleh agama Islam. Umat Islam sejak dari zaman sahabat telah menziarahi makam para Nabi dan sahabat-sahabatnya seperti Abu Bakar As-Siddiq dan Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhuma di dalam masjid An-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah.



DI SINI TAMADDUN BERMULA

Syria terletak di bahagian timur laut Laut Mediterranean. Ia mempunyai panjang pesisiran pantai sejauh 172 km dengan keluasan 186,000 kilometer persegi Di sini, tamaddun telah bermula sejak 45 abad yang lalu. Sejak dari waktu bermulanya ketamadunan, Syria telah menjadi tempat pertemuan dan laluan berbagai-bagai bangsa manusia, kebudayaan dan empayar. Syria sering dijoloki dengan gelaran pintu masuk sejarah justeru sumbangannya terhadap sejarah dan perkembangan tamadun manusia.Ia juga pernah berfungsi sebagai jalan perhubungan bagi perdagangan antara Mediterranean dan timur. Syria mengekspot huruf-huruf abjad ke barat (di mana abjad yang pertama di dunia ditemui di Ugarit di bahagian pantai Syria) dan dikaitkan dengan agama sejak era Semitik hinggalah ke era kepercayaan kepada ke Esaan Tuhan. Antara kerajaan dan tamadun yang pernah wujud di sini ialah kerajaan Aramean (732 sebelum masehi), Assyrian (605 sebelum masehi), kerajaan Arab Nabatean (87 sebelum masehi) dengan menjadikan kota Damsyik sebagai ibu kota dan kerajaan Rom yang telah memusnahkan kerajaan Arab Nabatean dalam tahun 105 masehi dengan menjadikan Bosra sebagai ibu kota. Dengan itu, Damsyik menjadi sebahagian empayar Bizantin (kerajaan Rom Timur) seperti lain-lain bahagian Syria hinggalah para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam membebaskan Damsyik dalam tahun 635 masehi. Damsyik menjadi ibu kota negara Islam dan dari kota ini umat Islam menyebarkan dakwah Islamiah hingga ke Andalusia dan Asia Tengah.

.

ZAMAN EBLA, MARI DAN DAN ERA GANGSA

Kerajaan Ebla dan Mari dijumpai di sini, Syria. Kedua-dua kerajaan ini merupakan tapak di mana penciptaan tulisan bermula. Batu bersurat yang berbentuk pasak telah ditemui di sini dengan beberapa bentuk tulisan. Kerajaan ini berakhir selama 1000 tahun disebabkan perkembangan kebudayaan, kegiatan perdagangan yang meningkat di antara Mesopatamia (kawasan di antara sungai Furat dan Tigris) dan Mediterranean.. Kedua-dua kerajaan ini telah diambil aleh oleh bangsa Akkadian dari Mesopatamia dan kemudiannya oleh bangsa Amorites di penghujung eranya. Akkadian adalah merupakan sumber bagi bahasa Semitik yang merupakan asas bagi bahasa Phoenician, Aramaic, Hebrew dan Arab.





2000-1600 SEBELUM MASEHI DAN SERANGAN BABYLON

Pemulihan perdagangan di kawasan ini berlaku buat sementara. Yamkhad, kerajaan Amorite di Allepo (Halab) telah mengambil aleh Ebla dan perdagangan mula berkembang secara beransur-ansur. Walau bagaimanapun Hammurabi, pemerintah Babylon telah memusnahkan MARI.



1600-1200 SEBELUM MASEHI DAN PENGUTUSAN NABI MUSA AS

Bangsa Hitti dari Anatolia (Turki) dan bangsa Mesir telah berjuang bermatian-matian untuk tanah ini, tetapi secara beransur-ansur bangsa Hitti telah mengambil alih sebahagian besar Syria tatkala Mesir mengubah haluan justeru kekacauan agama yang berlaku di sana. Zaman ini menyaksikan kebangkitan Ugarit di mana abjad yang pertama telah dicipta dan kemudian di bawah Greek Kuno oleh bangsa Mycenaean. Dalam waktu ini juga Nabi Musa ‘alaihe salam membawa kaum Israil keluar dari Mesir dan mendiami Palestin.



1200-539 SEBELUM MASEHI DAN BAHASA PERTUTURAN NABI ISA ‘AS YANG MASIH DIGUNAKAN DI SYRIA

Banyak peristiwa berlaku dalam tempoh ini. Yang paling penting ialah dayak laut kaum barbarian yang datang dari beberapa kawasan di sekeliling Laut Aegean. Mereka telah merampas beberapa kawasan di Syria dari bangsa Hitti dan Ugarit. Di Ugarit pesanan yang dihantar sebelum kedatangan bangsa barbarian ini telah ditemui. Dalam masa yang sama Phoenician telah semakin kuat dan mewujudkan beberapa kaloni di sekeliling laut Mediterranean. Kemudian bangsa Aramean telah bergerak melintasi Syria ke arah utara di mana bahasa mereka “Aramaic” telah dipertuturkan oleh Nabi Isa ‘alaihe salam hampir-hampir 1000 tahun kemudian dan masih lagi dipertuturkan oleh penduduk Ma’luula perkampungan pergunungan yang terletak 60 km ke utara kota Damsyik.



Lebih kurang dalam tahun 800 Sebelum Masehi, empayar Assyrian telah memegang tampuk kuasa dan hampir 2 kurun mereka telah mentadbir Syria dan Lebanon. Dalam tahun 612 Sebelum Masehi empayar ini jatuh kepada kerajaan Babylon yang terkenal dengan taman tergantungnya yang merupakan ibu negara kerajaan Nineveh.



539-333 SEBELUM MASEHI: BANGSA PARSI

Dalam tempoh ini, Parsi telah menawan Babylon dan mengambil alih timur tengah. Kaloni dan wilayah mereka telah dipertahankan dengan baik. Ia telah ditadbir dan diuruskan dengan sistematik. Semua wilayah ini telah dihubungkan dengan jaringan jalan yang cekap. Di penghujung tempoh ini, kerajaan Parsi telah jatuh kepada Greek.,



333-64 SEBELUM MASEHI: EMPAYAR ALEXANDER THE GREAT

Kekalahan Darius oleh pemimping agung dari Macedonia yang bernama Alexander merupakan permulaan permerintahan barat di Syria. Empayar Hellenistic menyatukan kedua-dua kebudayaan timur dan barat tetapi amat dipengaruhi oleh sistem dan kerangka Greek. Selepas kematian Alexander, Syria telah dibahagikan kepada dua empayar, pertamau di bawah Plotemy dan kedua di bawah Seleucus. Syria di zaman itu di bawah pengaruh Seleucids. Bangsa Seleucids telah membina Apamea (berhampiran Allepo) sebagai pengkalan tentera dengan menggunakan Lattakia (di pesisiran pantai Syria) sebagai pelabuhan utama mereka. Mereka juga telah membina kota kubu Doura Europos. Kesan-kesan sejarah di Apamea dan Doura Europos masih boleh dilihat hingga ke hari ini. Semua bandar ini telah dibina di bawah senibina dan perancangan Greek. Pada penghujung tempoh ini, datang pula bangsa Arab Nabatean dari arah selatan yang mengambil alih Damsyik dan Bosra, manakala bangsa Rom datang dari arah utara.



64 SEBELUM MASEHI – 395 SELEPAS MASEHI: ROM DAN RATU ZENOBIA

Walaupun bahagian selatan di bawah penguasaan bangsa Arab Nabaten (Al-Anba’), sebahagian besar Syria berada di bawah kuasa Rom di bawah pemimpin mereka Pompey. Di bawah pemerintahan Rom, pertanian dan ketamadunan Syria berkembang dan dengan sistem jalan raya yang terancang perdagangan menjadi makmur secara beransur-ansur. Dalam masa ini juga empayar agung Palmyra makmur di bawah pimpinan Ratu Zenobia. Beliau telah menawan kebanyakan Mesir dan Asia Minor (Turki sekarang ini) namun beliau telah ditewaskan oleh Rom dalam tahun 272 masehi. Sepanjang tempoh ini, agama kristian telah tersebar secara agresif di seluruh empayar ini. Dalam tahun 324 selepas masehi Constantine the Great telah mengambil alih Diocletian dan menamakannya Constantinapole (Istanbul) sebagai ibu negaranya. Di bawah Constantine yang telah menukar agama kepada agama kristian, agama Kristian telah berkembang di bawah empayar berajanya. Maharaja Theodosius I telah menamakan kristian sebagai bahasa rasmi bagi Empayar Rom. Pertukaran agama dan perpindahan ibu negara Rom dari Rome ke Constantinapole merupakan permulaan bagi empayar baru.







395 – 632 MASEHI: EMPAYAR BIZANTIN/BASILICA OF ST SIMEON DI

ALEPPO (HALAB)

Empayar Bizantin, percampuran kebudayaan Greek dan Kristian bermula dengan kematian Theodosius apabila Rome dibahagikan kepada timur dan barat. Terdapat banyak kesan peninggalan sejarah dan bandar-bandar mati di utara Syria yang mengambarkan kekuatan dan kebijaksanaan senibina bangsa Rom ini. Antara yang teragung ialah Basilica of St Simeon, biara yang didiamai oleh paderi yang berdiri di atas tiang yang digunakan untuk bersembahyang selama 38 tahun. Bassilica telah dibina di sekeliling tiang ini dan merupakan tempat yang dikunjungi untuk amalan ibadat. Justinian merupakan maharaja Rom yang teragung di zaman ini di mana telah berjaya merampas kembali kawasan-kawasan yang hilang dari tangan Rom. Beliaulah yang menumpaskan bangsa Sassanian dari Parsi di Resafeh dan Halabiye di Syria. Walaubagaimanapun dalam tahun 635 Masehi, para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam telah mengambil alih Syria dari tangan Maharaja Heraclius.



ERA ISLAM/632-661 MASEHI: ZAMAN KHALIFAH AR-

RASYIIDIN/PEMBUKAAN SYRIA DAN PENAKLUKAN DAMYSIK MELALUI TUJUH PINTU KOTA

Selepas kewafatan Nabi Muhammad sallallahu a’alaihe wasallam, pejuang-pejuang Islam mula menyebarkan agama Islam melalui jihad dan dakwah. Setelah kematian khalifah Ar-Rasyidin yang kedua Abu Bakar radhiallahu anhu, khalifah yang kedua Umar Al-Khattab radhiallahu anhu meneruskan kempen dakwah dan jihadnya ke atas bangsa Parsi justeru gangguan yang berterusan yang dilakukan mereka terhadap negara Islam. Kaum muslimin berjuang di dalam peperangan Namarraq menentang bangsa Parsi ini. Dan mereka telah berjaya. Kemudian berlaku pula peperangan Jasr. Di dalam peperangan itu tentera kaum muslimin telah dikalahkan. Kemudian kaum muslimin berjuang pula di dalam peperangan Buwaib, Qadisiya dan Jalula. Kaum muslimin telah memenangi kesemua peperangan ini. Mereka juga telah menawan Madain, Shustar dan Jande Sabur. Kemudian berlaku pula peperangan Nihawand. Inilah merupakan peperangan yang hebat dalam sejarah yang menamatkan era empayar Parsi. Ia juga membuktikan laluan masuk agama Islam ke tanah Parsi (Iran). Umar radhiallahu anhu juga berperang menentang Empayar Bizantin. Kaum muslimin menawan Syria dalam tahun 635 Masehi selepas peperangan Yarmuk di Jordan dalam tahun 634 masehi (di bawah pimpinan sahabat Nabi, Khalid bin Al-Walid dan Ubaidah bin Al-Jarrah radhiallahu anhuma menentang tentera Bazantine atau empayar Rom Timur, peperangan berlaku dua kali dalam tahun 634 Masehi dan 636 Masehi yang juga dimenangi oleh tentera Islam). Kemudian mereka menawan Jurusalem dan Mesir.



Sahabat-sahabat radhiallahu anhum telah mengepung dan menawan kota Damsyik tanpa sebarang pertempuran dan pertumpahan darah. Terdapat tujuh pintu kota Damsyik lama iaitu Bab Sharqi, Bab Al-Jabieh, Bab Touma, Bab Kisan, Bab Jneik, Bab Al-Faradis dan Bab Al-Saghir. Bab bermaksud pintu. Sahabat Khalid Al-Walid radhiallahu anhu telah memasuki kota ini melalui Bab Sharqi (dari arah timur kota). Manakala sahabat Abu Ubaidah bin Al-Jarrah radhiallahu anhu telah memasukinya melalui Bab Al-Jabieh (dari arah barat), ‘Amru bin Al-‘As radhiallahu melalui Bab Touma dan Yazid bin Abu Sufyan radhiallahu anhu melalui Bab Al-Saghir. Penaklukan ini mempamirkan sikap umat Islam yang penuh tolenransi dengan penganut lain-lain agama. Kaum muslimin dan kristian hidup aman damai sehinggakan mereka mengerjakan solat di dalam tempat yang sama (sebagaimana dalam sejarah awal masjid Umawi di Damsyik). Ketujuh-tujuh pintu kota ini boleh dilawati jika anda berkesempatan menziarahi kota Damsyik.



Di zaman Mu’awiyyah radhiallahu anhu, kaum muslimin mengasaskan Bandar Kairouan di Tunisia. Mereka telah menawan Kabul, pulau Rhodes dan Samarkand (sekarang ini Uzbekistan) dan Tirmiz. Kempen juga dihantar ke Khurasan (sekarang ini Iran), Bukhara (sekarang ini Uzbekistan).



Faktor kebangkitan Islam

Dalam masa setengah abad selepas kewafatan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihe wasallam, tiga benua telah jatuh di bawah pemerintahan Islam dan kedua-dua kuasa besar pada masa itu; Parsi dan Rom telah ditewaskan. Keimanan, karekter dan semangat merekalah yang bertanggungjawab dalam pencapaian ini:

1. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihe wasallam telah meninggalkan ramai sahabat yang terlatih. Kaum muslimin tahu bahawa mereka berjuang kerana Allah swt. Oleh itu mereka tidak merosakkan bumi yang mereka tawan, tidak juga mereka mengasari kaum yang mereka tewaskan. Mereka berani, bersemangat dan tidak takutkan mati!

2. Mereka bukannya orang yang tamak dan cintakan dunia. Kehidupan mereka amat sedernaha dan zuhud. Zuhud bukan bermakna mesti berpakaian compang camping tetapi mengorbankan segala kekayaan hartabenda demi menyebarkan agama Islam dan memajukan umatnya.

3. Cara kehidupan khalifah-khalifah Islam amat sederhana dan amat berbeza dengan kemewahan dan kekayaan yang dipertunjukkan oleh raja-raja Parsi dan Rom.

4. Mereka berlaku baik terhadap penduduk setiap tempat yang mereka tawan. Mereka tidak pernah memusnahkan sebarang kuil atau gereja. Mereka amat adil. Mereka hanya memilih untuk berperang apabila mereka tiada pilihan lain. Kerapkali mereka menandatangani perjanjian damai demi menjamin keamanan menyeluruh. Melainkan mereka yang tidak menerima agama Islam diwajibkan membayar cukai yang dipanggil Jizyah sebagai tukaran kepada perlindungan yang diberikan oleh orang Islam kepada mereka. Dalam masa yang sama mereka dikecualikan dari membayar zakat dan menyertai kempen ketenteraan.



Karekter orang-orang Islam ini telah menawan hati ramai orang dan ramai memeluk agama Islam setelah melihat amalan praktikal mereka ini. Tiada seorangpun dipaksa memeluk agama Islam.



Pembentukan Kekhalifahan Umayyah – Damascus (Damsyik) sebagai ibu kota

Dinasti Umayyah berlangsung antara 661- 750 selepas Masehi. Khalifah Umayyah yang pertama, Muawiyyah radhiallahu anhu telah memindahkan ibu negara Islam dari Madinah ke Damascus (Damsyik). Khalifah-khalifah Umayyah telah memperkuatkan empayar Islam. Mereka telah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi dan juga memperkenalkan mata wang rasmi. Mereka juga telah memperkenalkan system pos. System mata wang telah mempermudahkan perdagangan dan mengurniakan kaum muslimin satu simbol kekuatan dan kuasa. Mereka juga telah membangunkan sistem pos. Mereka melangsungkan kehidupan sederhana dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Mereka telah memperkasakan ketumbukan tentera mereka terutamanya tentera laut. Empayar Islam telah berkembang pada masa itu merangkumi Afrika dan Sepanyol, timur Pakistan, Afganistan dan Turkmenistan. Kekhalifahan Umaiyyah berakhir dalam tahun 750 masehi yang menyaksikan berakhirnya kepentingan kota Damsyik. Makam sahabat Mu’awiyyah bin Abu Sufyan radhiallanhu boleh diziarahi di Bab As-Saghir di kota Damsyik sekiranya anda berpeluang berkunjung ke kota bersejarah ini.



661-750 MASEHI: ZAMAN UMAIYYAH/PEPERANGAN SIFFIN DI RAQQAH UTARA SYRIA/DAMSYIK SEBAGAI IBUKOTA

Muawiyyah radhiallahu anhu yang merupakan Gabenor Syria sebelum itu telah berperang dengan Ali radhiallahu anhu (hasil perselisihan faham, pegangan teguh terhadap ijtihad masing-masing pihak dan hasutan puak-puak Syi’ah) di pinggir sungai Furat ( di utara Syria) yang dikenali dengan peperangan Siffin. Dewasa ini, medan ini terletak dalam kawasan Raqqah 450 km ke utara Syria. Di sini terdapat makam sahabat Ammar bin Yasir radhiallahu anhu dan Waasibah bin Sa’ed Al-Asadi radhiallahu (seorang perawi hadis) serta makam tabi’in Uwais Al-Qorni dan Ubai bin Qais An-Nakhaei. Dan dalam tahun 661 Masehi apabila Khalifah Ali radhiallahu anhu dibunuh, beliau telah mengambil alih Damsyik dan menjadikannya sebagai ibu negeri bagi khalifah Umaiyyah. Damsyik telah menjadi ibu negara bagi wilayah yang terbentang luas dari Sepanyol di Andalusia hinggalah ke sungai Indus di India. Kerajaan Umaiyyah telah menunjukkan tolak ansur kepada penganut agama kristian serta amat menitik beratkan pelajaran dan sains. Di dalam tahun 750 Masehi Damsyik telah diambil alih oleh Abu Al-Abbas yang mengasaskan dinasti Abasiyyah di Baghdad.



750-1199 MASEHI: SYRIA DI BAWAH DINASTI ABASIYYAH

Syria telah diabaikan di bawah dinasti Abasiyyah. Ini digambarkan oleh kurangnya senibina Abasiyyah ditemui di Syria, hanya boleh disaksikan di Raqqah di utara Syria (seperti kota kediaman musim panas khalifah Harun Al-Rasyid). Selepas pemerintahan Harun Al-Rasyid, Fatimiyah (syiah) mengambil alih selatan Syria dan Damsyik dalam tahun 978 Masehi, manakala Allepo telah diperintah oleh Hamdani dalam kurun ke 10 dan 11 Masehi. Kerajaan Fatimiyiah di bawah pemerintahan Khalifah Hakim mula memusnahkan gereja-gereja. Ini ditambah pula dengan rayuan oleh kerajaan Bizantine dalam memerangi bangsa Seljuk, mewujudkan fasa Syria yang berikutnya bagi tentera-tentera Salib.



1098-1250 MASEHI: TENTERA SALIB DAN AYUBBIAH/CASTLE CRACK DES CHAVELIER/ SALAHUDIN AL-AYUBI DAN RICHARD OF THE LION HEART

Tentera Salib telah tiba di Syria dalam tahun 1098 Masehi di bawah pimpinan Raymond de Saint Gilles, Count of Toulouse, mereka merentasi jalan melalui lembah Orantes (sungai ‘Asi) kemudian melalui Hama dan Sheizar hinggalah ke tapak yang dikenali sekarang sebagai Krak Des Chavaliers. Dalam bulan Disember 1098, mereka telah membunuh kaum lelaki di Maarat Al-Numan (di sini boleh ditemui makam Khalifah Umar bin Abdul Aziz). Apabila kawasan Latin, Edessa jatuh ke tangan Zengi; seorang pemimpin Islam, ketumbukan tentera Salib yang kedua datang dari Perancis dan Jerman. Walaubagaimanapun, mereka tidak berjaya menawan Edessa dan mereka juga tidak berjaya menawan Damsyik. Ini telah melumpuhkan semangat bangsa Eropah tersebut. Salahuddin Ayyubi terlalu berpengaruh dalam menumpaskan tentera Salib. Setelah mengalahkan tentera asing di Mesir dan Damiata dalam tahun 1170 masehi dan di Alexandria dalam tahun 1173 masehi dan sesudah beliau memperkuatkan kekuasaannya di Nuba, Mesir, Hijaz dan Yaman beliau meneruskan kempennya ke Syria. Damsyik telah menyambut kedatangannya dalam tahun 1174 masehi tatkala ketua hakim Damsyik berkata kepadanya; “Kerehatan bagimu dijamin, bergembiralah, perintah adalah di tanganmu dan negeri ini menjadi milikmu.” Beliau berjaya menawan Jurusalem seterusnya membebaskan Masjid Al-Aqsa, Acre, Sidon dan Beirut kesemuanya dalam tahun 1187 Masehi. Beliau juga telah melancarkan banyak peperangan terhadap pemimpin tentera Salib yang bernama Richard of the Lion Heart. Makam Salahudin Al-Ayubi boleh diziarahi di Damsyik di luar masjid Umawi. Salahudin Al-Ayubi yang masyhur dengan kata-katanya; “Aku lebih suka tersilap sewaktu memberi kemaafan dari bertindak benar sewaktu menjatuhkan hukuman.,” telah menerima penghormatan dari consular Jerman, William II (1888-1918) di waktu beliau menziarahi Damsyik dalam tahun 1898 dengan kata-katanya; “Aku terlalu gembira menjejakkan kaki ke negara di mana suatu ketika dahulu dihuni oleh seorang hero zaman lampau, tindakan-tindakan beliau merupakan pengajaran kepada para musuh, yang mengajar mereka bagaimana seorang hero itu layak memperolehi penghormatan. Hero itu ialah Salahudin Al-Ayubi.” Beliau telah menghadiahkan sebuah replika makam Salahudin yang anda boleh lihat sendiri bersebelahan dengan makam Salahudin jika anda berpeluang menziarahinya di Damsyik.



1250-1516 MASEHI: MAMALUK; PENAWANAN KRAK DES CHAVELIER DI HOMS, SAFITA DAN LATAKIA DAN BERAKHIRNYA ERA TENTERA SALIB DI BUMI ARAB DAN ISLAM

Tempoh ini bukanlah merupakan zaman yang baik bagi Syria dan penduduknya. Lapan tahun selepas Burgi Mamaluk memegang tampuk kuasa (dari ibu negara mereka, Kaherah) sejarah menyaksikan serangan bangsa Mongol yang merosakkan apa sahaja di laluan mereka. Di bawah pimpinan Sultan Malik Zahir Shah Bybar komandar Mamaluk, bangsa Mongol telah dikalahkan dan Krak Des Chavelier, Safita dan Latakia kesemuanya telah diambil dari tentera Salib (1271-1289 Masehi). Maka kubu terkuat tentera Salib di bumi Arab dan Islam. Dalam tahun 1291, Tartous telah diambil oleh pengganti Baybar, Sultan Khalil. Dalam tahun 1302 apabila garisan pertahanan tentera Salib di pulau Arwad (di Tartous, Syria) dirampas maka ia menandakan noktah terakhir penguasaan tentera Salib di timur tengah. Kumpulan Mamaluk yang kedua, Burgis telah memegang tampuk kuasa dalam tahun 1382. Ianya mengambil masa selama dua dekad yang penuh pertembungan antara mereka dan orang-orang sebelum mereka, bangsa Bahris sebelum mereka memegang tampuk kuasa itu. Ini melemahkan benteng pertahanan mereka dan dalam tahun 1400 Damsyik telah diserang oleh Tamerlane (Mongol/bangsa Tartar). Beliau telah memusnahkan sebahagian besar Syria dan dengan pengubahan laluan perdagangan sekitar Afrika, perdagangan Syria telah jatuh. Kota Kubu (castle) Crack Des Chavelier masih utuh hingga ke hari ini dan boleh dilawati. Di kota ini kita akan menemui keunikan senibina Eropah dan Islam.



1516-1918: EMPAYAR OSMANIAH: PEMBINAAN TAKIYYAH

SULAIMANIAH, CARAVASARIS DI BAZAAR ALLEPO DAN DAMSYIK

Dalam tahun 1516, Sultan Selim I, yang telah menewaskan Mamaluk di utara Allepo telah menawan Syria. Beliau kemudiannya mendakwa sebagai khalifah. Di bawah penggantinya Sulaiman Al-Qaunouni, komplek Takiyyah Sulaimaniah telah dibina di kota Damsyik. Kerajaan Osmaniah telah membina banyak khan atau caravansaries (hotel persinggahan para pedagang) di bazaar Allepo dan Damsyik yang merupakan tempat perhentian terakhir bagi kaum muslimin yang ingin mengerjakan haji di Mekah. Oleh itu banyak khan seperti ini telah dibina untuk tujuan ini. The great Khan of Allepo telah dibina bagi pedagang-pedagang Eropah setelah perdagangan dibuka kepada Eropah. Sekali lagi Allepo menjadi bandar penting dalam perdagangan antara timur tengah bagi perdagangan timur dan barat. Di bawah pimpinan Ibrahim Pasha, anak lelaki kepada Muhammad Ali, Damsyik telah menjadi pusat kerajaan Syria. Ibrahim Pasha telah menawan Damsyik dalam tahun 1832 dan beliau telah mengasaskan sekolah, mengorganisasikan semula sistem perundangan, mengemaskinikan polisi percukaian dan menitikberatkan pelajaran. Beliau juga meletakkan kaum kristian dan Yahudi setaraf dengan kaum muslimin. T.E Lawrence dan orang-orang Arab yang menentang kerajaan Turki telah sampai di Damsyik diketuai oleh ketumbukan tentera di bawah pimpinan Emir Faisal, anak lelaki Hussein, polis Mekah dalam tahun 1918.



SYRIA DI BAWAH MANDAT PERANCIS DAN MENJADI MANGSA KONSPIRASI PENJAJAH EROPAH

Dalam tahun 1918, kerajaan berparlimen telah diwujudkan di Damsyik dan dalam tahun 1920 Emir Faisal telah diistiharkan sebagai Raja Syria. Pada masa ini, Syria telah dikenalpasti secara geografi oleh perbatasan sempadannya yang bermula di gunung-gunung Tartous di Turki hinggalah ke Sinai di selatan. Orang-orang Arab berfikir bahawa Syria akan mentadbir urusan negaranya sendiri dan begitulah sepertimana yang dijelaskan oleh pihak British. Namun demikian, rahsia perjanjian Sykes-Picot memberikan titik noktah kepada ini. Perjanjian yang telah dimaterai dalam tahun 1916 telah dilaksanakan selepas mensyuarat San Remo. Konspirasi penjajah Eropah terbongkar lagi. Syria telah dibahagikan kepada empat bahagian dan dikongsi bersama oleh Britain dan Perancis. Syria dan Lebanon menjadi milik Perancis manakala Palestin dan Jordan menjadi milik Britain. King Feisal telah diangkat menjadi raja Iraq. Syria kemudiannya dibahagikan oleh Perancis kepada wilayah-wilayah berasingan atau negeri iaitu Allepo, Damsyik, Latakia dan Hauran. Allepo kemudiannya dibawa masuk ke dalam negara Syria dengan Damsyik sebagai ibu negara. Di dalam tahun 1925 puak Druz di Hauran telah memberontak dan bergerak ke arah Damsyik yang menyaksikan Damsyik telah dibom dengan keras oleh pihak Perancis. Di dalam tahun 1939, Iskanderoun telah diserahkan kepada bangsa Turki demi menjadikannya sebagai sebuah wilayah berkecuali semasa perang dunia kedua. Dalam tahun 1942, Hauran dan Latakia telah dimasukkan ke dalam negara Syria. Dan di dalam tahun 1945 Syria telah memperolehi kemerdekaan dan dalam tahun berikutnya era Perancis di Syria pun berakhir.



Apabila kebanyakan negara Arab telah memperolehi kemerdekaan sekitar masa itu, kesatuan Arab dihidupkan semula. Syria telah memasuki beberapa perjanjian, antaranya bersatu dengan Mesir bagi membentuk Republik Arab Bersekutu. Walau bagaimanapun dalam tahun 1962 Persekutuan ini telah dibubarkan dan di dalam tahun 1963 Parti Al-Ba’ath Syria telah mengambil alih tampuk kuasa pemerintahan.



SYRIA ZAMAN MODEN

Syria adalah negara sekular di mana Islam adalah agama yang dianuti oleh majoriti penduduknya. Namun kebebasan agama terdapat di sini.



Ibu Negara: Damascus (Al-Sham)

Presiden: Dr. Bashar Al-Assad

Kerajaan: Syria adalah sebuah republic sosialis berdasarkan perlembagaan tahun 1973. Dewan Perundangan mengandungi 250 ahli yang dipanggil Majlis As-Shaab (Majlis Rakyat/Dewan Rakyat) yang dipilih sekali dalam masa empat tahun. Presiden dipilih bagi tempoh 7 tahun dan bertanggungjawab dalam melantik dan memecat naib presiden, perdana menteri dan menteri.



Bandar-bandar utama: Allepo (Halab), Homs dan Hama

Pelabuhan utama: Latakia dan Tartous.

Rupabumi fizikal: Subur, tanah pamah dan pelbagai bentuk gunung.

Sungai utama: Sungai Furat (Euphrates)

Ekspot: Kapas, Bijiran, minyal dan fosfat.

Jumlah penduduk: 18 juta dan pertumbuhan penduduk dalam tahun 1990’an adalah 3.6%

Agama: Sunni Muslim (80%), Kristian (12%) dan lain-lain seperti Syiah Alawiyah dan Druz.

Etnik Minoriti: 90% adalah arab. Minoriti termasuklah Kurdi (yang menduduki sebahagian besar utara Syria) dan Armenian (di bandar-bandar utara Syria). Terdapat juga masyarakat Palestin di Damascus dan masyarakat Tcherkas dari Caucus.

Tenaga: Lebih kurang 20% bekalan tenaga Syria diperolehi dari janakusa hidro terutamanya dari empangan sungai Furat.

Sumber-sumber asli: Petroleum, gas asli, fosfat, ashhalt dan garam adalah mineral yang banyak dijumpai di Syria. Begitujuga dengan arang batu, besi, tembaga, dan emas yang banyak dijumpai di kawasan pergunungan.

GNP: Lebih kurang USD16.5 Billion setahun (anggaran tahun 1990’an)

Ekonomi: Anggaran belanjawan tahunan negara pada awal tahun 1990’an termasuklah USD 5.4 billion hasil dalam negeri dan USD 7.5 Billion dalam perbelanjaan termasuk perbelanjaan modal sebanyak USD 2.9 Billion.

Telekom dan Media: Syria mempunyai dua saluran TV. Yang pertama disiarkan dalam bahasa Arab dan kedua campuran English dan Perancis. Syria juga mempunyai saluran satelit yang disiarkan ke Eropah, Utara dan Selatan Amerika dan Afrika. Internet dan khidmat e-mail boleh didapati dengan mudah. Telefon bimbit dan selular makin digunakan dengan meluas.



DAMSYIK (DAMASCUS) KOTA AL-IRAM SEBAGAIMANA DI DALAM AL-QURAN

Damsyik adalah bandar tertua yang didiami manusia secara berterusan di dunia. Justeru itu, ia mempunyai kedudukan penting di bidang sains, kebudayaan, politik, seni, perdagangan dan industri bermula dari awal sejarah ketamadunan manusia. Ia dipanggil “Al-Fayha” yang membawa maksud bandar yang harum, juga As-Syam, Jollaq dan “Pearl of the Orient” seperti yang dinamakan oleh Maharaja Julian (Rom).



Di dalam Al-Quran ia dinamakan “irama zati imaad” (bandar bertiang Aram) seperti di dalam surah Al-Fajr ayat ke 7-8 (bermaksud): “…kota Al-Iram yang mempunyai tiang-tiang yang tersusun (seumpama kota itu) yang tidak pernah dicipta dalam negeri-negeri….” (Al-Fajr: 7-8) Sebahagian ulama tafsir berpendapat kota Al-Iram itu adalah Damsyik.



Kota Damsyik terbahagi kepada dua bahagian, Damsyik Lama (Old Damascus) dan Damsyik Baru (New Damascus). Di sudut sejarah kota lama Damsyik di kelilingi oleh tembok kota dan terdapat tujuh pintu masuk ke kota ini. Di dalam kota lama Damsyik anda boleh menziarahi masjid Umawi, bazaar-bazaar berbumbung, masjid-masjid lama, madrasah-madrasah, hammam (rumah mandi wap atau sauna gaya Rom) dan rumah-rumah tradisional arab Syria yang dikenali dengan nama “Al-Bait Al-‘Arabi” Manakala di kawasan Damsyik baru anda boleh menyaksikan deretan kedai bentuk moden dan ala Rom yang menjual berbagai-bagai jenis barangan termasuk pakaian, hiasan rumah, cenderahati dan sebagainya.



Rujukan awal terhadap bandar ini seperti yang terdapat pada batu bersurat Ebla, mendapati bahawa Dameski (Damascus) dalam tempoh 3 millenium sebelum masehi merupakan bandar yang mempunyai pengaruh ekonomi yang kuat. Manuskrip Fir’aun yang lama menunjukkan bahawa Damsyik dipanggil Damaska. Damsyik memainkan peranan penting sebagai pusat kerajaan Aramic dalam kurun ke 2 sebelum masehi dengan nama Dar-Missiq (rumah yang bertali air). Damsyik terletak di laluan perdagangan antara Asia Barat dan di persimpangan laluan perdagangan yang membahagikan tamadun timur dan barat di Mesopatamia, Hijaz, Persia, lembah Nil, India dan Anatolia. Damysik mencapai zaman penting dalam tempoh 3 millineum sebelum masehi. Ia merupakan kota tertua yang berterusan dihuni manusia di dunia, walaupun terdapat di kalangan sejerawan berpendapat kepentingan Damsyik bermula sejak 2 millenium sebelum masehi di zaman kemakmuran kerajaan Aramean. Kemudian Damsyik ditawan oleh bangsa Assyrian, Kaledonian dan Parsi. Ia jatuh kepada Alexander the Great dari Macedonia dalam tahun 332 sebelum masehi kemudian diikuti oleh bangsa Hellenist dan Seleucid. Rom telah menjadikan Damsyik sebagai sebuah metropolitan. Dalam kurun ke 4 masehi ia menjadi sebahagian Empayar Bizantine (Rom Timur), diikuti oleh bangsa Arab Ghassanids dan akhir sekali dibebaskan oleh para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam dalam tahun 635 Masehi.



Damsyik menjadi ibu kota kerajaan Arab yang pertama di bawah Dinasti Umaiyyah dalam tahun 661 masehi. Ini merupakan tanda permulaan zaman emas justeru di sepanjang abad itu ia menjadi pusat empayar Islam. Setelah kejatuhan kerajaan Umaiyyah, Damsyik melalui zaman kejatuhan dan dialpakan sesudah dinasti Abbasiyah memindahkan pusat pemerintahannya dari Damsyik ke Baghdad. Damysik kemudiannya diperintah oleh pemerintah-pemerintah Mesir yang terdiri dari bangsa Tulun, Ikhshidid dan Fatimiyah. Dalam tahun 1085 sekali lagi ia menjadi penting di bawah pemerintahan kerajaan Seljuk yang kemudiannya digantikan Mamaluk (Atabek) Di zaman Mamaluk, Damsyik mengalami beberapa serangan tentera Salib. Damsyik benar-benar menjadi penting sekali lagi dalam tahun 1154 Masehi apabila Sultan Mahmoud Nurruddin bin Zinki bin Aq-Sunqur (1118-1174 Masehi) menjadikannya ibu kota. Sultan Nuruddin amat menyintai kota Damsyik dan rasa cinta ini beliau telah melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan, kebudayaan, agama, kemakmuran dan apa sahaja yang berkaitan dengan Damsyik. Beliau telah berjuang mempertahankan kota Islam ini dari serangan tentera Salib dengan memenangi semua peperangan menentang mereka. Beliau telah memperkasakan semua kota-kota kubu di Syria dan membina tembok-tembok yang mengelilingi kota. Dokumen-dokumen sejarah membuktikan tindakan yang beliau ambil terhadap kota kubu Damsyik (Damascus Citadel), Homs, Shezar, Hama dan Baalbeck (sekarang ini di Lubnan). Beliau telah membina dua lagi pintu kota Damsyik iaitu Bab Al-Faraj dan Bab Al-Salam. Nuruddin telah membina Akademi Nuria yang mempunyai asrama pelajar yang dianggap yang pertama di dunia di samping Bimarstan Nurruddin yang dibina dalam tahun 1154 masehi yang berfungsi sebagai sebuah hospital dan sekolah perubatan dan sains. Ia berterusan berfungsi selama 800 tahun. Ia terletak di bahagian timur Bazaar Hamidiah dan hanya 500 meter dari Damascus Citadel. Sepanjang siri peperangan menentang tentera Salib, Sultan Nurruddin yang terkenal dengan keadilan dan kewarakannya mempunyai tebusan perang yang terdiri dari raja-raja tentera Salib ini di mana untuk pembebasan mereka, beliau meminta wang tebusan yang tinggi dengan nasihat yang diberikan oleh penasihat-penasihat beliau. Dengan wang tebusan ini, beliau memerintahkan agar sebuah bangunan didirikan guna dijadikan sebuah hospital yang menawarkan rawatan dan perubatan percuma kepada orang-orang yang memerlukan. Bangunan inilah yang dinamakan Bimarstan. Bimar bermaksud pesakit dan stan bermaksud rumah. Sejarah merakamkan bahawa Khalifah Walid bin Abdul Malik (yang membina Masjid Umawi) adalah orang yang pertama membina Bimarstan di dalam kota Damsyik dalam tahun 707 Masehi dan beliau telah melantik doktor-doktor yang baik dan memperuntukkan wang yang banyak sebagai perbelanjaan merawat pesakit-pesakit. Dalam zaman Dinasti Ayubbiah, Damsyik berada di zaman emasnya khususnya di era pemerintahan Nuruddin. Pada hari ini, Bimarstan Nuruddin ini merupakan muzium perubatan dan sains Arab. Ia menempatkan kumpulan dokumen-dokumen dan bahan-bahan penting yang membuktikan sumbangan besar bangsa Arab terhadap perkembangan perubatan, farmasioloji dan sains. Bimarstan ini boleh anda lawati sekiranya anda berkesempatan menziarahi kota Damsyik. Di samping itu anda juga boleh menziarahi makam Nuruddin Az-Zinki yang terletak di pintu masuk Masjid Nuruddin di dalam bazaar Hamidiah di kota Damsyik. Al-Qadhi Al-Sheikh Yusuf bin Ismail Al-Nabhaani (meninggal dunia dalam tahun 1350 Hijrah) menukilkan dalam kitabnya “Jami’ Karaamatul Aulia” bahawa berdoa di makam beliau mustajab dan telah dibuktikan oleh pengalaman ramai orang.



Setelah Syria mencapai kemerdekaan dalam tahun 1946, Damsyik kembali menjadi penting sebagai pusat kebudayaan dan politik dunia Arab.



MENZIARAHI DAMSYIK

Adalah mustahil untuk memperjelaskan semua tempat-tempat penting di kota ini. Kota ini adalah muzium hidup yang telah berdenyut merentasi ribuan tahun. Seseorang itu hanya akan dapat menyaksikan mercu tanda-mercu tanda yang penting di dalam kawasan bandar lama Damsyik (yang dilingkungi oleh tembok-tembok bandar ini) dan bandar barunya (yang berada di luar lingkungan tembok-tembok ini).



MERCU-MERCU TANDA DAMYSIK

TEMBOK-TEMBOK DAN PINTU-PINTU KOTA

Tembok-tembok ini telah dibina dalam era Rom yang menggunakan batu-batu yang batu-batu yang digunakan untuk membina kem-kem tentera Rom, bandar dan kubu-kubu mereka. Terdapat tujuh pintu kota termasuklah Bab Syarqi, Bab Al-Jabieh, Bab Keissan, Bab As-Saghir, Bab Tuma, Bab Al-Jneik dan Al-Faradiss..



MASJID UMAWI LAMBANG KEAGUNGAN SENIBINA ISLAM

Masjid yang agung ini terletak di tengah-tengah kota lama Damsyik di penghujung Bazaar Al-Hamidiah (Pasar Hamidi). Masjid ini telah dibina oleh Khalifah kerajaan Umawi yang bernama Al-Walid bin Abdul Malik dalam tahun 705 Masehi apabila Damsyik menjadi ibukota empayar Islam ini. Asal masjid Umawi adalah sebuah gereja kristian. Dan sebelum gereja ini dibina, ia menjadi tempat peribadatan Yahudi (synagogue).

Masjid Umawi adalah simbol penting bagi sebuah kota yang tertua di dalam sejarah dunia yang telah dibina di atas sekeping tanah yang diperakui sebagai pernah dihuni oleh tempat-tempat ibadat dan sebagai kawasan suci berbagai agama yang dianuti manusia. Oleh itu, masjid ini boleh dianggap sebagai sebuah buku sejarah yang terbuka yang mencatatkan kehadiran berbagai-bagai agama di kota Damsyik. Di samping sebagai sebuah tempat ibadat, masjid ini adalah contoh senibina Islam dengan struktur yang besar dan hebat serta dilimpahi kekayaan seni hiasan serta sebagai simbol pencapaian penting dan ulung dalam era permulaan Islam. Ia juga boleh dianggap sebagai kejayaan pertama senibina Islam.



Tapak masjid ini pernah didirikan sebuah kuil bagi tuhan Hadad (tuhan guruh dan kilat). Berhala ini disembah di atas tapak ini 3000 tahun dahulu. Dalam beberapa dokumen sejarah, ia dikenali sebagai tuhan Jupiter bagi bangsa Rom. Berkemungkinan kuil bangsa Aramean ini dikenali sebagai Temple of Jupiter tatkala Damsyik berada di bawah penguasaan Rom. Namun demikian, berbagai tambahan dilakukan terhadap struktur asalnya, walaupun beberapa dokumen menyebut bahawa ia telah diperbesar dan diperbaiki di dalam zaman Seleucid dan Rom. Ahli sejarah bersepakat mengatakan bahawa kuil Rom ini telah ditukar kepada sebuah gereja di bawah Maharaja Theodosius (379-395 Masehi) tetapi mereka berselisih pendapat tentang jarak lokasi sebenar gereja ini dengan kuil tersebut. Tetapi beberapa kajian membuktikan bahawa gereja tersebut telah dibina di atas sekeping tanah di bahagian barat halaman kuil ini. Dokumen sejarah mencatatkan bahawa struktur gereja ini runtuh sebelum kaum muslimin menawan kota Damsyik.



Tatkala Khalid Al-Walid radhiallahu anhu memasuki Damsyik, beliau telah mengimami solat di sudut tenggara “Altiminos” sebuah tempat di luar gereja ini. Semua kaum muslimin bersolat di tempat yang sama dengan muka mereka mengadap ke arah kiblat. Oleh itu, ia boleh dianggap sebagai masjid yang pertama di Damsyik dan ia dikenali sekarang sebagai sebuah mihrab dalam masjid Umawi ini yang bernama mihrab Hanbali atau mihrab sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam. Kemudian kaum muslimin menukarkan bahagian tenggara kuil Rom ini kepada sebuah masjid dan kaum muslimin dan penganut agama Kristian memasuki kedua-dua tempat ibadat mereka melalui pintu yang sama yang merupakan pintu masuk utama bagi kuil Rom ini. Kaum muslimin menuju ke masjid masjid mereka di arah timur manakala penganut Kristian ke barat di mana gereja mereka terletak.



Apabila khalifah Al-Walid bercadang untuk membina masjid yang besar ini yang bersesuaian dengan kegemilangan negara Arab sebagai masjid yang tak pernah dibina sebelum itu dan tidak akan dibina seumpamanya sesudah itu; telah dilaporkan bahawa beliau telah berunding dengan masyrakat kristian di Damsyik untuk membina gereja yang lain untuk mereka di mana beliau telah memperuntukkan beberapa keping tanah dan sejumlah wang yang besar bagi tujuan pembinaan lain-lain gereja sekiranya mereka melepaskan hak mereka demi pembinaan masjid ini. Masyarakat kristian telah bersetuju. Justeru itu empat buah gereja telah dibina sebagai ganti gereja di dalam masjid Umawi. Gereja-gereja tersebut ialah Gereja Hamid Bin Ad-Durra, Gereja St Mary, Gereja Musallaba dan sebuah gereja di Souk Al-Jubin (pasar keju). Pembinaan masjid ini telah mengambil masa selama 10 tahun dan menelan perbelanjaan sebanyak 11 juta dinar emas selain menggunakan ramai pakar-pakar batu dan tembok, jurukir, pekerja-pekerja binaan, tukang-tukang kayu, pelukis, tukang-tukang jubin dan sebagainya hinggalah pembinaannya tamat.



Masjid ini telah menjadi model senireka bagi ratusan masjid di seluruh dunia Islam. Di dalam masjid terdapat makam Nabi Yahya ‘alaihe salam dan sebuah telaga yang telah digali di tempat di mana para sahabat mula-mula mengerjakan solat. Telaga ini telah digunakan sebagai sumber minuman dan berwudhuk. Alat yang digunakan untuk menggali dan membina telaga ini dicipta di zaman pemerintah Walid bin Abdul Malik. Batu yang digunakan untuk membina telaga ini mempunyai nilai yang tinggi serta jenis yang amat jarang ditemui. Ia adalah perpaduan fosil era Pre Cambrian, 570 juta tahun dahulu hasil kajian yang dilakukan oleh Universiti Copenhagen. Seorang ahli kajibumi Syria mengatakan bahawa fosil tertua yang ditemui di Syria bertarikh 10 juta tahun dahulu. Ini membuktikan kemungkinan batu itu dibeli dari luar Syria berdasarkan dokumen yang mencatatkan bahawa Khalifah Walid telah membayar 15 ribu dinar bagi dua tiang yang ditegakkan dalam masjid ini. Dua tiang ini jugalah yang tertegak di atas telaga tersebut!



Masjid ini mempunyai tiga menara. Menara sebelah timur dikenali dengan menara Isa justeru dipercayai bahawa di akhir zaman, Nabi Isa ‘alaihe salam akan turun ke bumi di antara dua sayap malaikat lalu turun ke menara ini. Beliau akan membunuh Dajjal, memusnahkan salib dan membunuh babi. Menara Isa ini juga dikenali sebagai menara putih sebagaimana diriwayatkan di dalam beberapa hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam. Menara ini telah terbakar dalam tahun 570 hijrah dan dibina semula oleh sultan Salahuddin Al-Ayubi (dinasti Ayubbiah) dan dibaikpulih kemudiannya sebanyak dua kali oleh Sultan Malik Shah dan satu dom yang berbentuk kon ditambah oleh kerajaan Usmaniah di puncaknya. Menara kedua terletak di sebelah barat masjid Umawi yang telah dibina semula oleh Sultan Kayutbai dalam era mamaluk selepas ia dimusnahkan oleh Timberlain bangsa Tartar. Arkitek yang mengawasi pembinaannya ialah berbangsa Arab Syria bernama Salwan bin Ali yang mengadaptasikan senireka Mesir. Ketinggiannya ialah 66 meter dan dibaikpulih kemudiannya dalam tahun 1923. Menara yang ketiga dikenali sebagai Menara Arous yang terselamat dari semua malapetaka. Menara ini telah dibina atas perintah Khalifah Walid dan ia disaluti emas. Ini adalah contoh menara yang dicontohi senirekanya kemudian di lain-lain bandar di Syria, Afrika Utara dan Andalusia (Sepanyol).



Masjid Umawi mempunyai empat pintu, Kawafin di dinding sebelah selatan yang juga dikenali sebagai Bab Ziyada atau Anbari atau Sa’at (jam). Pintu kedua dikenali sebagai Bab Barid terletak di sebelah barat dinding masjid, Bab Amara di pintu bahagian utara yang dulu dikenali sebagai Bab Al- Faradis atau Natfeen. Pintu yang terbesar dikenali dengan nama Bab Al-Noufura (air pancut) terletak di sebelah timur masjid, dahulu ia dikenali dengan nama Bab Jiron atau Bab Labadin. Di kedua-dua bahagian timur dan barat Masjid Umawi terdapat empat dewan resepsi. Dua dewan di setiap bahagian dipisahkan oleh pintu masjid. Dewan ini pernah dikenali dengan nama “Mashad”. Terdapat Mashad Othman di sisi sebelah utara pintu ini yang digunakan pada hari ini sebagai dewan resepsi utama. Mashad Orwa berada di arah tenggara yang digunakan pada hari ini sebagai tempat berwudhuk. Manakala Mashad Abu Bakar pada hari ini menempatkan muzium masjid Umawi dan dewan yang keempat ialah Mashad Al-Husein yang menempatkan makam Husin di mana selepas peperangan Karbala, kepala Saidina Husain cucu Rasulullah yang dipancung telah dibawa dan diletakkan di sini sebelum ia dikebumikan di Kaherah, Mesir. Apa yang perlu diingati apabila disebut “makam” ia tidak bermakna jasad dikebumikan di situ lantaran makam membawa berbagai pengertian. Antaranya, sebagai tempat persinggahan, tempat beribadat, tempat berdiri dan sebagainya. Ia boleh diziarahi jika anda berkunjung ke masjid Umawi yang indah dan bersejarah ini.



Di dalam dewan sembahyang, terdapat empat mihrab yang menjadi simbol kepada empat mazhab ahli Sunnah wal Jamaah (Syafi’e, Hambali, Maliki dan Hanafi). Di bahagian sayap masjid sebelah timur terdapat makam Nabi Yahya ‘alaihe salam. Di halaman masjid ini, terdapat dua dom (asalnya terdapat tiga dom yang kemudiannya dipindahkan). Yang masih tinggal ialah Dom Sa’at (Jam) di sebelah timur dan Dom Aisha di sebelah barat. Kedua-dua dom ini terbina di atas tiang-tiang Corinthian.



Sebuah kereta kayu gergasi yang telah digunakan untuk mengangkut batu-batan dari kawasan pergunungan Mezzah 5 km ke utara Damsyik dipamerkan di pekarangan halaman masjid Umawi dan boleh dilawati oleh setiap pengunjung.



ISTANA AL-ADZIM

Istana ini juga terletak di tengah bandar lama Damascus, di bahagian selatan Masjid Umawi dan terletak berhampiran dengan masjid itu. Ia merupakan contoh kediaman penduduk Damascus yang menakjubkan di mana rekaan hiasan dalamannya yang lebih bercorak primitif yang amat berbeza dengan luarannya yang agak sofisikated. Kita akan mendapati keluasan ruang di dalam istana ini, batu-batu yang bercorak senada, jubin-jubin mewah, air pancut dan bunga-bunga yang wangi. Istana ini telah dibina dalam kurun ke 18 oleh As’ad Pasha sebagai kediaman Gabenor Damascus. Pada hari ini istana ini berfungsi sebagai muzium seni dan tradisi popular Syria. Ia boleh dikunjungi jika anda berada di kota Damsyik.



KOTA DAMASCUS (CITADEL)

Satu-satunya kota kubu yang di Syria yang dibina sama aras dengan bandar ini, bukannya dibina di atas puncak bukit atau gunung seperti kebiasaannya. Ia telah dibina oleh kerajaan Seljuk dalam tahun 1078 masehi dengan tembok-tembok kota Damascus dijadikan dindingnya lalu ditukar kepada satu kota/kubu yang kukoh dan mampan yang dikelilingi oleh tembok-tembok, menara-menara, pesiaran kaki serta peparitan. Di dalam kota ini mereka membina rumah kediaman, tempat mandi, masjid dan sekolah. Ia adalah bandar dalam bandar. Di waktu berlakunya serangan tentera-tentera Salib (Kristian), kota ini telah dibina sebagai tempat kediaman Sultan Mesir dan Syria seperti Nuruddin, Salahudin Al-Ayobi dan Malik bin Al-Abdel.



BAZAAR TERTUTUP SYURGA KAKI “SHOPPING”

Di dunia Arab, bazaar atau souq dalam bahasa Arab atau pasar tertutup atau berbumbung sememangnya sinonim dengan sesebuah kota lama dan bersejarah. Di dalam bazaar inilah semua barang keperluan dijual. Di kebanyakan negara timur tengah khususnya di negara-negara sekitar laut Mediterranean, senibina bazaar ini mendapat sentuhan jurubina di zaman Othamniah. Seperti Grand Bazaar dan Egypt Bazaar di Istanbul, bazaar-bazaar yang terdapat di Damsyik juga tidak terkecuali. Bazaar-bazaar di Damsyik mempunyai citarasa unik yang boleh dikecapi dengan mata yang tertutup. Tatkala anda berjalan melalui lorong-lorong di dalam bazaar-bazar ini dengan mencium aroma wangi-wangian, rempah ratus dan pelbagai barang dagangan yang memenuhi kedai sehingga melimpah keluar ke lorong pejalan kaki, anda sebenarnya sedang memasuki dunia ganjil yang menyimpan berbagai-bagai lagenda. Barangan berkualiti dijual dengan harga yang murah. Bazaar yang termasyhur di kota Damsyik ialah:



BAZAR AL-HAMIDIAH (SOUQ AL-HAMIDI)

Terletak berhadapan masjid Umawi, ia telah dibina dalam tahun 1863 masehi semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid di zaman empayar Usmaniah. Justeru itu bazaar ini telah dinamakan dengan nama Bazar Al-Hamidi. Anda boleh membeli berbagai-bagai barangan keluaran tempatan yang berkualiti dengan harga yang murah. Justeru Syria terkenal dengan industri tekstilnya yang bermutu tinggi, kebanyakan barangan yang dijual berasaskan tekstil antaranya barangan hiasan dalaman yang terdiri dari kain-kain langsir, alas meja, renda, cadar, sarung kusyen, pengikat langsir, barangan perak dan tembaga, lampu-lampu chandeliar yang bertatah kristal, barang-barang hiasan yang dihasilkan dengan menggunakan kayu, kristal, kaca, kulit, kain dan sebagainya, cenderahati dan berbagai-bagai aneka barangan lagi yang pastinya berupaya memancing poket para pengunjung untuk membeli.Lebih-lebih lagi kaki berniaga! Harganya yang murah tetapi dihasilkan dengan mutu kerjatangan yang tinggi mampu membuat bakal pembeli rambang mata. Sememangnya rakyat Syria masyhur dengan kerjatangan mereka yang halus, indah dan berseni.



BAZAR MIDHAT PASHA

Ia telah dibina oleh Gabenor Damsyik yang bernama Midhat Pasha dalam tahun 1878 Masehi. Ia terletak selari dengan basar Hamidi. Antara barangan yang dijual ialah herbal tempatan yang digunakan bagi tujuan perubatan, permaidani, sejadah, jubah, hiasan khat yang dihasilkan atas kain baldu berbagai warna, hasil kerjatangan penduduk Badwi (sarung bantal, kusyen, alas kaki, permaidani, hiasan dinding dan beraneka barangan lagi), minyak wangi, sabun minyak zaitun dan habatus sauda’ dan berbagai jenis barangan lagi. Jika anda berada di sini, jangan lokek untuk berbelanja justeru barangan sebagus dan semurah ini kemungkinan tidak boleh didapati di negara lain.



BAZAR AL-HARIR

Ia telah diasaskan oleh Darwish Pasha dalam tahun 1574 Masehi. Pintu masuknya terletak di Bazar Al-Hamidiah di luar Masjid Umawi. Kedai-kedainya dipenuhi oleh pakaian bersulam keluaran tempatan, wangi-wangian, kedai-kedai pakaian dan jahitan dan lain-lain barangan beraneka jenis.



BAZAR AL-BZOURIEH DAN HAMMAM NURRUDIN AZ-ZINKI

Terletak di antara Bazar Midhat Pasha and Masjid Umawi dan terkenal dengan kedai-kedai buah-buahan kering, kekacang (pistachio, walnut, hazel nut), kismis pelbagai jenis,kuih-kuih tradisional Syria yang enak rasanya, ubat-ubatan herbal dan makanan. Di tengah-tengah bazaar ini terdapat rumah mandi sauna (Roman Bath) yang telah digunakan secara berterusan semenjak kurun ke 12 yang telah dibina oleh Sultan Nuruddin An-Zinki untuk penduduk Damsyik. Ia boleh dikunjungi hanya dengan bayaran sebanyak USD 3 seorang.



MERCU-MERCU TANDA BANDAR BARU DAMSYIK



MUZIUM KEBANGSAAN

Muzium kebangsaan Damsyik secara umumnya diiktiraf sebagai muzium sejenisnya yang terunggul di dunia. Pelawat boleh menyaksikan artifak-artifak ketamadunan yang unggul yang pernah wujud dan makmur di bumi Syria. Terdapat ribuan patung, stem, barang-barang kemas, senjata, batu-batu berharga, ukiran, topeng, batu-batu bersurat, pakaian, mosaik, kerja-kerja kaca dan tembikar, duit syiling and manuskrip yang dipunyai oleh kerajaan-kerajaan kuno Syria seperti Ebla, Ugarit, Palmyra, Tel Sukas, Mari, Dora Europos, Basra, Shahba dan lain-lain lagi.



TAKIYYEH SULAIMANIAH

Contoh unggul bagi senibina empayar Usmaniah. Ia telah dibina oleh Sultan Sulaiman Al-Qanouni dalam tahun 1554 Masehi. Lokasinya bersebelahan muzium kebangsaan. Ia dibangunkan bersebelahan istana Zhaher Bybars yang masyhur dan direka oleh arkitek Sinan. Yang paling menarik ialah dua menara yang menjulang ke angkasa. Di dalam kompleks ini terdapat dua buah masjid, pusat kraftangan, kilang kristal tiup, galeri seni lukis, muzium perang dan lain-lain.



MUZIUM SEJARAH DAMSYIK

Bangunan kurun ke lapan belas, seperti Istana Al-Adzhim, ia merupakan contoh atau model rumah kediaman lama Damsyik. Ia menyimpan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan penduduk-penduduk yang pernah mendiamai bandar Damascus.



ZABADANI/MAKAM HABIL

Kawasan resort musim panas yang terletak 45 km ke utara Damsyik dan berada 1175 meter di atas paras laut. Ia merangkumi tanah pamah Zabadani, tanah yang subur ditanami pelbagai jenis buah-buahan termasuk epal, cheri, plam, peach dan pear. Sungai Barada yang terdapat di sini menjadi sumber air bagi Damascus dan juga mengairi kawasan Ghuta yang terdapat berhampiran bandar ini. Sumber ini menjadi sebuah tasek yang dikelilingi oleh kafe, restoran dan padang permainan. Kawasan ini dikunjungi oleh ramai pelancong di musim panas. Di kawasan ini juga terdapat makam Habil anak Nabi Adam ‘alaihe salam yang telah dibunuh oleh saudaranya Qabil.



NAWA/ MAKAN NABI AYOB ‘ALAIHE SALAM DAN IMAM AN-NAWAWI

Perkampungan pertanian yang subur terletak di kawasan tanah pamah Hauran menyaksikan sejarah pengorbanan dan keikhlasan seorang Nabi yang bernama Ayob a’laihe salam dan seorang Imam Mujtahid dan Muhaqqiq Mazhab Al-Imam As-Syafie Mujahid umah As-Sheikh Al-Imam An-Nawawi, di mana kitabnya yang termasyhur Riyadusolihin dan syarah Sahih Muslim disimpan dan dirujuk oleh umat Islam dari dulu hingga sekarang. Di sinilah letaknya makam kedua-dua pejuang agong dan hamba Allah yang ikhlas itu.



BOSRA/LOKASI PERTEMUAN RASULULLAH SALLALLAHU ‘ALAIHE WASALLAM DENGAN PADERI KRISTIAN

Terletak di tanah pamah Hawran lebih kurang 145 km ke selatan Damascus. Ia adalah bandar kuno sebagaimana yang disebut di dalam senarai Tutmose 111 and Akhenaten dalam abad ke 14 sebelum masehi. Bandar Arab Nabatean yang pertama dalam abad ke 2 sebelum Masehi yang menggunakan nama Buhora tetapi dalam zaman Hellinistik ia dikenali dengan nama Bustra. Kemudian kerajaan Roman mengambil alih kepentingan kota ini. Dalam zaman Empayar Trojan, ia telah dijadikan ibu kota Wilayah Arab (106 sebelum masehi) dan dipanggil Neatrajana Bustra. Bandar ini kemudiannya mengalami perkembangan dan kemakmuran kemudian menjadi tempat laluan bagi kafilah-kafilah pedagang dan menjadi tempat kediaman rasmi raja-raja sesuatu empayar.



Sesudah kejatuhan kerajaan Rom, Bosra memainkan peranan penting dalam sejarah agama kristian. Ia juga dihubungkaitkan dengan sejarah kebangkitan Islam apabila seorang paderi Nestorian yang bernama Bahira atau Buhaira yang mendiami kota ini menemui Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihe wasallam yang datang berkunjung ke bumi Syria bersama kafilah dagang bapa saudaranya Abu Talib di usia baginda 12 tahun, di mana paderi ini meramalkan kenabian dan kerasulan baginda dan menasihati Abu Talib agar menjaga baginda dari fitnah dan hasad dengki orang-orang Yahudi. Di sini juga terdapat masjid Al-Mabrak yang menjadi lokasi di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihe wasallam memberhentikan untanya. Ia juga dipanggil Mabrak An-Naaqah.



Menara empat segi yang dibina oleh kerajaan Islam masih berdiri megah di Bosra yang memainkan peranan penting sebagai tempat persinggahan kepada jemaah haji dalam perjalanan mereka ke Mekah yang digunakan sehingga abad ke 17.



Panggung Theatre Rom

Bahagian yang paling menarik di bandar ini ialah Panggung Teater Rom (Roman Amphitheatre) yang telah dibina dalam abad ke 2 masehi yang boleh memuatkan 15,000 penonton. Ia masih dianggap sebagai Roman Amphitheatre yang tercantik dan terpelihara di dunia. Pentasnya sepanjang 45 meter dan lebar 8 meter. Di setiap musim panas, kota Bosra menjadi tuan rumah bagi banyak festival seperti Bosra Art Festival, Syrian Musis Festival, Syria Folk Art Festival dan lain-lain lagi. Kota ini juga mempunyai puing-puing binaan Empayar Rom selain dari gereja Buhaira di zaman Empayar Rom Timur (Byzantine) di samping Masjid Al-Mabrak yang dikatakan dibina di atas tapak di mana unta Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihe wasallam berhenti. Terdapat masjid Umar (yang dipanggil juga sebagai masjid Al-Arouss) masjid serupa dengannya yang masih kekal sejak dari awal sejarah Islam dan masih mengekalkan bentuk abad ke 7 yang primitif.

Kota kuba Islam yang dibina dalam zaman kerajaan Ayobi dan Mamaluk masih gagah berdiri dan salah satu menaranya sekarang menjadi muzium Antik dan seni tradisional.



Kota ini juga mempunyai struktur-struktur yang berikut ini:



a. Bekas tembok-tembok (bangsa Arab Nabatean)

b. Arca kemenangan (Triumphal Arch, yang dibina oleh bangsa Rom dalam abad ke 3)

c. Tempat mandi (bangsa Rom, abad ke 2 )

d. Al-Birkeh (kolam yang mempunyai ukuran 155 meter dan 122 meter, yang dibina oleh bangsa Arab Nabatean)

e. Kuil Nabatean yang dibina seawal abad pertama

f. Cathederal (Byzantine, empayar Rom Timur – abad ke 4)



HOMS

Homs adalah bandar ke 3 penting di Syria. Ia terletak 160 km ke utara Damsyik. Seperti Petra (di Jordan) dan Palmyra, Homs adalah termasuk sebahagian kerajaan beraja Arab yang wujud dalam abad ke 2 sebelum masehi. Ia juga stesyen ke 3 bagi pengguna jalan sutera selepas Doura Europos dan Palmyra. Banyak kota dan bangunan di Homs telah roboh disebabkan gempabumi di zaman dahulu kala. Bandar ini merupakan tempat kelahiran ahli falsafah Syria yang masyhur yang bernama Longenius yang merupakan seorang kaunselor kepada Queen Zenobia yang memerintah Palmyra.



Binaan sejarah yang paling penting di sini ialah Masjid Khalid Al-Walid, sahabat Nabi sallahu ‘alaihe wasallam. Dua menara yang dibina dari batu berwarna puteh menjulang ke angkasa seolah-olah meminjamkan cahayanya kepada kawasan sekeliling. Di dalam masjid ini juga terletaknya makam Khalid Al-Walid radhiallahu anhu. Homs adalah tempat terakhir yang dikunjungi oleh Khalid Al-Walid dalam sejarah pembukaan Syria dengan membawa panji Islam dan cahaya iman. Di dalam masjid ini juga terletak makam sahabat Abdullah bin Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhuma.



HAMA

Bandar ini terletak 200 km ke utara Damsyik and 60 km ke timur Banyas. Hama sesungguhnya sebuah bandar kuno yang berterusan makmur sejak dari zaman itu lagi dan sempat mengenali ketamadunan manusia yang panjang. Hama menyimpan sejarah dalam mempertahankan Syria dari pencerobohan luar. Peperangan yang masyhur pernah berlaku di sini ialah Peperangan Qarqar di mana tentera Assyrian telah dikalahkan dalam tahun 853 sebelum masehi. Sayang sekali, hanya beberapa peninggalan kuno yang masih dipelihara. Walaubagaimanapun Hama terkenal dengan kincir airnya (Nories) yang terletak di tebing sungai Orontes atau Al-‘Asi yang berusia setua bandar Hama juga. Salah satu bangunan kuno Hama ialah Masjid Al-Kabir (the great Mosque) yang telah dibina sejak abad ke 14 dan termasuk dua makam amir yang pernah memerintah Hama dalam abad ke 13. Satu masjid lagi ialah Abu Al-Fida, nama yang diberi mengambil sempena nama Sultan Hama yang merupakan ahli geografi dan sejarah Arab yang masyhur. Masjid kuno yang ketiga ialah Masjid Al-Nuri yang telah dibina dalam zaman Nurruddin Al-Zinki dalam tahun 1129 masehi di mana di dindingnya terdapat tulisan dalam bahasa Arab dan Greek (Yunani). Ia masyhur dengan mihrab kayunya yang indah. Hama masyhur dengan industri tradisionalnya seperti kain dan pakaian.



PALMYRA

Bandar yang berusia 2000 tahun dan merupakan tempat laluan dan persinggahan di tengah-tengah gurun Syria. Lokasinya adalah sejauh 207 km ke barat daya Damascus. Palmyra menjadi masyhur lantaran Ratu Zenobia yang telah mencabar Maharaja Rom yang bernama Aurlian dan menduduki tanah-tanah di timur Mediterranean dan Mesir selama 6 tahun.



Puing-puing dan tinggalan sejarah di Palmyra menggambarkan peranan penting yang dimainkan oleh kota ini di zaman kegemilangannya dalam memungut cukai dan mempertahankan sempadan timur empayar Rom dari serangan empayar Parsi. Binaan-binaan yang terdapat di sini seperti Kuil Bel and Baalshamin, kawasan perkuburan lembah maut dan lembah Necropolis merupakan tempat yang berharga untuk dilawati.



Palmyra terletak bersebelahan oasis pokok tamar yang menyumbangkan pemandangan indah yang tidak kedapatan di lain-lain tempat. Saksikan Palmyra di waktu matahari jatuh, sinarannya yang menyimbah puing-puingnya membawa nostalgia anda menggembara ke zaman-zaman kegemilangan kota yang wujud di tengah-tengah padang pasir ini. Kemudian kota ini hilang di gelap gulita kawasan pergurunan ini, diselimuti malam yang tenang. Banyak aktiviti boleh dilakukan di Palmyra seumpama majlis koktail berhampiran kolam yang disinari cahaya bintang-bintang bergemerlapan, atau makan malam cara Badwi di padang pasir dengan tarian tradisional masyarakat Badwi atau menaiki unta dan kuda.



ALLEPO (HALAB)

Bandar ini terletak sejauh 355 km ke utara kota Damsyik, kemungkinan merupakan sebuah bandar yang paling tua diduduki manusia dalam sejarah dunia yang masih aktif ke hari ini dengan pelbagai jenis aktiviti. Bandar ini masyhur dengan citadel (kota kubu) yang terletak di puncak paling tinggi di kota ini di mana dengan menaikinya anda boleh melihat keseluruhan kota agung ini. Secara tradisional ia merupakan kota perdagangan terutamanya sebelum kewujudan terusan Suez, ia pernah menjadi jalan penghubung antara Eropah dan Asia. Sesungguhnya Allepo atau Halab merupakan kota oriental yang mengkagumkan. Allepo adalah bandar seni rekabina. Seorang pengunjung akan menemui perlbagai stail senibina dalam bandar ini; seni reka bena kurun ke 13 dan 14, seumpama caravansaries (atau khan yang bermaksud hotel persinggahan yang pernah digunakan oleh pedagang-pedagang, antara yang termasyhur boleh dilawati para hari ini ialah Khan Al-Shouneh), sekolah pengajian Al-Quran dan Hamman (Roman Bath), masjid Umawi dan Souq (Bazar). Bandar Allepo juga terkenal dengan kilang-kilang tekstil dan permaidaninya. Antara tempat-tempat yang mesti dilawati semasa berada di Allepo ialah Allepo Citadel (terletak di atas gunung yang dipercayai bahawa Nabi Ibrahim ‘alaihe salam pernah memerah susu di atasnya lalu dinamakan kota ini dengan nama Halab yang berasal dari kalimah Arab “Halaba” yang bermaksud memerah susu), Masjid Umawi (di mana makam Nabi Zakaria ‘alaihe salam terletak di dalamnya), madrasah-madrasah lama, khan (Caravansaries) yang merupakan hotel-hotel lama yang pernah digunakan oleh pedagang-pedagang jalan sutera (kini ditukar kepada bazaar-bazaar dan yang terkenal ialah Khan As-Shounieh) dan bazaar tertutup sepanjang 10 km yang menawarkan berbagai jenis produk tempatan dengan harga yang murah.



MA’LUULA & SEDNAYA

60 KM dari kota Damascus, ibu negara Syria dalam berhampiran lebuhraya Damascus – Allepo, 6 kilometer ke barat lebuh raya ini, terletak Ma’luula di kawasan pergunungan 1500 meter dari paras laut mengadap kawasan perlembahan yang damai bagaikan memperhatikan perjalanan sejarah dan menjadi saksi peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di kawasan ini. Masuk sahaja ke kawasan Ma’luula seseorang itu akan merasa terkepung dalam keajaiban dan legenda yang kemudiannnya terbongkar dalam alam realiti. Di sini, puncak-puncak gunung bagaikan tembok-tembok yang mengepungi kampong kawasan pergunungan ini dan anda akan merasa takjub menyaksikan rumah-rumah yang bagaikan sarang-sarang burung yang bergantungan di lereng-lereng gunung. Kesan-kesan peninggalan sejarah, gua dan lurah gunung memperhubungkan sejarah yang berusia ribuan tahun sejak dari era Kerajaan Aramean tatkala Ma’luula dimiliki oleh kerajaan Homs, hinggalah ke zaman Rom apabila ia dinamakan sebagai “Seliocopolis”, seterusnya menempuhi era Bizantine (Rom Timur) di kala ia mempermainkan peranan keagamaan yang penting bermula dari kurun ke empat masehi sebagai pusat sistem kegerajaan yang berakhir hingga ke kurun 17.



Namun, kita tidak perlu menjadikan kesan-kesan peninggalan sejarah di sini sebagai saksi kewujudan sejarah itu sendiri, memadailah anda menghampiri salah seorang penduduk Ma’luula dan dengarilah perbualan mereka. Sejarah masih bertutur di sini. Dalam bahasa apakah mereka bertutur? Mereka masih bertutur dalam bahasa Aramaen [Aramaic] yang masih kekal dituturkan sejak kurun pertama Masehi hinggalah ke 7 masehi. Inilah bahasa yang telah dipertuturkan oleh Nabi Isa ‘alaihe salam. Tempat-tempat yang perlu dilawati di sini Mar Taqla Monastery, Mar Sarkis Monastery dan lurah antara dua gunung yang menakjubkan.



35 Km ke utara Damsyik terdapat sebuah biara kuno yang dipercayai sebagai salah sebuah biara tertua di dunia yang menyimpan berbagai mitos dan lagenda.



LATTAKIA

Kota ini telah dibina oleh bangsa Seleucid dalam kurun ke 3 sebelum masehi. Ia merupakan bandar pelabuhan utama Syria di pesisiran Laut Mediterranean yang digunakan sejak era Rom. Di Lattakia anda boleh menyaksikan tugu kemenangan yang telah dibina oleh Septimus Severus serta “Caravansari” (khan/rumah persinggahan) yang telah ditukar menjadi sebuah muzium.



UGARIT & ABJAD PERTAMA DI DUNIA

Terletak 12 km dari Lattakia, di tempat ini abjad dan nota muzik pertama di dunia telah ditemui. Ugarit adalah pusat perdagangan terpenting dan ibu negara Kerajaan Kan’an dalam kurun ke 2 sebelum masehi. Raja Ugarit mempunyai sebuah istana yang besar dan mewah yang kemudiaannya ditukar menjadi pusat pentadbiran kerajaan. Puing-puing istana ini menjadi saksi kegemilangan kerajaan Kan’an.



KOTA KUBU SALAHUDIN AL-AYUBI

Terletak 55 km dari Lattakia, kota ini pernah gagah berdiri di atas gunung bergaung curam mengadap hutan belantara yang menghijau di sekelilingnya. Kota ini dikatakan sebagai sebuah kubu yang paling sukar ditawan, namun panglima Islam Salahudin Al-Ayubi telah berjaya menawannya dalam tahun 1188 masehi. Dalam tahun 1225 masehi, duta Republik Venice telah melawatinya dan menandatangani satu perjanjian perdagangan justeru kepentingan dan lokasinya yang strategik.



TARTUS DAN ARWAD

Tartus (Antrados) dan pulau Arwad (Arados) memiliki sejarah tersendiri sejak zaman lampau. Ia dikenali justeru kepentingan maritim dan perdagangannya. Dari pesisiran pantainya kapal-kapal bangsa Phoenician dipenuhi dengan barangan berkualiti tinggi dan rempah-ratus yang lazat. Ke arah selatan Tartus, anda boleh menemui puing-puing kota Amrit dengan kuil-kuil yang dibina dari batu-batan dengan dikelilingi air dan telah digunakan oleh bangsa Syria kuno dalam beberapa acara sukan.

SYRIA NEGARA PELANCONGAN UNIK

Syria dianggap sebagai negara pelancongan unik dengan produk-produk pelancongan berasaskan sejarah, tamadun, agama, kesenian, keindahan alam semula jadi dan pertanian dengan keselamatan yang terjamin. Terdapat 3000 tapak sejarah di Syria dan ia jauh lebih menarik dari Mesir, Tunisia dan Morocco dari pelbagai aspek.



PROSEDUR MEMASUKI SYRIA

Bukan warganegara Syria mesti mempunyai:-



1. Paspot yang sah

2. Visa yang sah memasuki Syria. Jika anda menggunakan perkhidmatan TRANSBOSRA TRAVEL HOLIDAYS (M) SDN BHD anda dikehendaki menghantar senarai dan maklumat tetamu-tetamu yang menyertai pakej pelancongan ke Syria (atau fotokopi mukasurat pertama paspot Antarabangsa Malaysia) untuk kami menguruskan visa grup anda selewat-lewatnya 5 hari sebelum tarikh penerbangan.

3. Pelancong yang ingin tinggal lebih melebihi 15 hari dikehendaki membuat permohonan di jabatan Imigresyen Syria bagi penambahan bilangan hari.

4. Cukai lapangan terbang bagi pelancong yang bertolak dari lapangan terbang antarabangsa Damascus untuk pulang ke negara masing-masing adalah sebanyak 200 Syrian Pound ataupun menyamai USD 4.

5. Bil-bil di hotel dibayar dengan menggunakan matawang Syria.

6. Visa untuk keluar dari Syria tidak dikehendaki jika anda tinggal di Syria kurang dari 15 hari.



PENGINAPAN DI SYRIA

Terdapat lebih 400 buah hotel di Syria. Terdapat juga hotel-hotel bertaraf antarabangsa seperti Sheraton, Meridien, Al-Cham, dan Ebla di Damascus, Meridien (Damascus), Al-Cham (Palmyra), Shahba Al-Cham (Allepo) dan Furat Al-Cham (Deir Zurr).



MAKANAN

Pelawat yang datang ke Syria akan sentiasa menemui makanan yang memenuhi seleranya. Makanan Syria amat terkenal dengan beranika jenisnya. Makanan barat juga boleh didapati di hotel dan restoran di seluruh negara ini. Air minuman di Syria adalah selamat, bersih dan mempunyai nilai kesihatan yang tinggi. Air ini diperolehi dari sumber air bawah tanah, mataair yang datang dari kawasan pergunungan dan lain-lain sumber yang dirawat dengan teknologi tinggi. Ain Al-Fijieh membekalkan sumber air minuman ke bandar Damascus yang merupakan sumber mineral water yang utama. Air yang dibotolkan berjenama Boukein dan Dreikish adalah berasal dari Ain Al-Fijieh.



LAIN-LAIN MAKLUMAT PENTING:



1. Tidak terdapat wabak atau penyakit berjangkit di Syria.

2. Jenayah yang biasanya terdapat di lain-lain bandar di seluruh dunia hampir-hampir tidak wujud di Syria.

3. Kuasa elektrik: 220 Volts

4. Tempoh bekerja di pejabat: dari 8 am hingga 2 pm

5. Jumaat adalah hari cuti umum

6. Kedai dibuka setiap hari hingga pukul 8 malam di musim sejuk dan 10 malam di musim panas, beberapa jenis kedai ditutup selepas tengahari hingga selepas waktu Asar.

7. Asas unit kewangan Syria adalah piaster: iaitu 1/100 daripada Lira. Wang kertas yang digunakan adalah dalam jumlah (Lira Syria): 1,5,10,25,50,100,200,500 dan 1000 LS)

8. Wang syiling dengan kadar: 1,2,5,10,25 (piaster)

9. KADAR TUKARAN WANG SEKITAR : USD 1 = 45 LIRA SYRIA (LS) atau mengikut kadar tukaran semasa

10. Traveler check dan credit card boleh di gunakan di Syria tetapi hanya di tempat tempat tertentu sahaja (terhad) ,di galakkan membawa wang tunai utk kemudahan.

11. Semua pertukaran matawang di buat di Syria dengan mengunakan USD.[setiap 100 USD = 4500 Lira Syria (Syrian Pound)

12. setiap urusan pembelian barang –barang di galakkan mengunakan Lira Syria(Syrian Pound) sahaja

13. Pakaian di Syria boleh dikatakan sama dengan cara rakyat kita berpakaian.(berjubah dan (moden)Pakaian yangmenjolok mata tidak di galakkan.

14. Wanita di wajibkan bertudung ketika memasuki ruang masjid.



CUACA

Syria mengalami cuaca Mediterranean yang sederhana, 4 musim dan langit yang tidak berawan pada sebahagian besar di dalam setiap tahun. Cuaca di musim luruh dan bunga adalah antara 20-25 celcius, 30 celcius dalam musim panas dan 5-10 dalam musim sejuk. Cuaca musim sejuk sederhana dengan salji biasanya turun dalam bulan Januari dan Februari.Pakaian musim sejuk dinasihatkan antara bulan Disember ke Februari dan awal March. Pakaian musim panas pada bulan Mei dan September. Agak ramai yang boleh bertutur di dalam bahasa Inggeris atau Perancis. Mereka yang hanya berbahasa Arab adalah peramah dan suka membantu.



MEMBELI BELAH

Pelancong boleh membeli banyak produk tempatan yang berkualiti dengan harga yang murah. Produk yang menjadi kegemaran termasuklah barang-barang hiasan dalaman, kekacang, tekstil, lampu-lampu hiasan dan lain-lain yang mempunyai kualiti ekspot.



KEDUTAAN MALAYSIA

Syria mempunyai lebih kurang 90 kedutaan asing termasuk kedutaan besar Malaysia di Syria.


No tel kedutaan: 00963-11-6122811

No. Fax kedutaan: 00963-11- 6122814