Bismillaahi ‘alaa diinii wanafsii wawaladii wa-ahlii wamaalii


Dengan nama Allah, (aku memohon perlindungan) mengenai agamaku, hidupku, anak-anakku, keluargaku



WOW!

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Sunday, March 27, 2011

AHLAN WA SAHLAN BIKUM WA MARHABAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. 
Pada hakikatnya kehidupan kita di dunia yang sementara ini adalah satu perjalanan singkat; 60 tahun, 72 tahun, 45 tahun ataupun kurang dari itu mahupun ada yang sempat menghirup udara dunia sebentar cuma seperti kanak-kanak yang diambil oleh "Kholiq" (Pencipta) Nya di awal usia! 
Namun itulah hakikatnya. 
Keberadaan kita di dunia ini cumalah seketika bagi menjalani ujian Allah swt samada pahit atau manis, suka ataupun duka, senang ataupun susah, lapang ataupun sempit, kaya atau miskin, ternama atau tidak dikenali, popular ataupun tidak dipedulikan dan yang lebih penting dari itu beriman ataupun kafir, syukur ataupun kufur. 


Blog ini saya tulis untuk kita berkongsi pengalaman di sepanjang usia kehidupan, berkongsi rasa & perasaan, sepanjang perjalanan yang telah kita tempohari di mana-mana lokasi atau negara yang kita kunjungi. 
Berkongsi cerita tentang manusia yang pernah kita temui, masyrakat kita pernah kenali, negara yang pernah kita kunjungi, berbagai rencam adat resam dan budaya yang mungkin menarik hati, apa-apa sahaja cerita suka duka, kisah-kisah mencuit hati tetapi berbekas di hati justeru pengajaran yang mampu kita perolehi bagi jiwa yang teliti dan perasaan yang tinggi sensitivitinya. 
 
 
Sudah bertahun-tahun saya terlibat dalam industri pelancongan & pengembaraan serta ibadat umrah. 
Berbagai-bagai ragam manusia saya telah ketemui, bermacam-macam perangai dan karenah, kehendak dan keinginan, penerimaan dan penolakan. Ah, biasalah kan rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. 
Itu adalah ungkapan yang biasa kita dengar. 
Kita hanya mampu berbicara atau menghukum dari lahiriah atau luaran sahaja, itupun bagi sesiapa yang suka atau berkencederungan menghukum atau memberi pandangan ataupun kesimpulan terhadap diri orang lain. 
Namun apa yang ada di dalam hati mereka (batiniah) kita kembalikan sahaja kepada Allah swt. 
Justeru Dia sahaja yang mengetahui apa yang dizahirkan oleh manusia dan apa yang disembunyikan jauh di sudut hati.



Pengalamanlah yang mengajar manusia menjadi dewasa. 
Bukankah dikatakan pengalaman itu adalah "Guru" yang sebenarnya? Persoalannya sejauh manakah apa yang kita telah tempuhi dan lalui itu benar-benar mengajar kita? 
Benar-benar mendidik hati supaya menjadi lebih "sedar" tentang maksud dan tujuan keberadaan diri kita di dunia "Fanaa" ini? 
Sebanyak manakah pengajaran atau iktibar yang telah kita rumuskan lalu menjadi panduan yang memimpin kita untuk menjadi seorang "Manusia" yang lebih memahami hakikat sebuah kehidupan yang dipinjamkan kepada kita?



Saya pernah mengenali beberapa orang yang sering keluar negara menyertai pakej-pakej pelancongan yang dianjurkan oleh syarikat kami. 
Mereka telah mengembara ke banyak destinasi & negara, termasuk ke negara-negara yang saya sendiri tidak pernah kunjungi.
Ribuan ringgit mungkin telah dikorbankan bagi menyertai pakej-pakej pelancongan ini. 
Terdapat juga di kalangan mereka yang setiap tahun mengerjakan ibadat umrah di tanah suci. 
Ada juga yang menghabiskan sebulan Ramadhan di Madinah & Mekah. 
Namun yang menyedihkan saya, walaupun banyak wang ringgit, tenaga dan masa dihabiskan, sikap dan perangai masih sama. 
Tidak ada peningkatan, perubahan, tetap sama malahan lebih buruk dari yang sebelumnya. Saya sering bertanya diri sendiri, untuk apa mereka mengembara, melancong, ke tanah suci saban tahun? 
Apa niat mereka? 
Apa tujuan mereka? 
Apa yang mereka cari sebenarnya? 
Ataukah disebabkan mereka ke luar negara sekadar meluangkan masa? 
Atau disebabkan mereka berkemampuan berbuat sedemikian? 
Di penghujungnya saya tidak menemui jawapan. 
Justeru apa yang tersembunyi di dalam hati, itu bukan kerja saya. 
Itu kerja Allah swt.



Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, daripada  Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihe wasallam telah bersabda yang bermaksud: 
"Sesungguhnya semua amalan itu bermula dengan niat Sesunggunya seseorang itu akan memperolehi (ganjaran/pahala) berdasarkan apa yang diniatinya. 
Maka barangsiapa hijrahnya kerana Allah swt dan RasulNya maka ia akan memperolehi ganjaran dari Allah dan RasulNya. 
Barangsiapa berhijrah kerana dunia, maka dunia itu akan diperolehinya ataupun jika beliau berhijrah kerana untuk mengahwini seorang wanita maka dia akan mengahwini wanita itu. 
Maka sesungguhnya ganjaran hijrahnya bergantung kepada niat apa dari hijrahnya."
 
 

Sunday, February 13, 2011

WANG, KUASA & KEANGKUHAN

Dari dulu, Mesir memang terkenal dengan jolokan "Ardhul Fara'in" atau bumi para Fir'aun, Sebenarnya Fir'aun adalah gelaran bagi raja-raja yang memeritah Mesir dalam sejarah kuno Mesir. Fir'aun Ramses didakwa sebagai Fir'aun yang berkuasa memerintah Mesir secara kuku besi, membunuh bayi-bayi lelaki berselang tahun dan membiarkan yang perempuan hidup. Saya berkesempatan menyaksikan Mumia Ramses yang disimpan di Muzium Kaherah, mayatnya tidak diterima bumi walaupun mati tenggelam di Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa dan Bani Israil, mayat si Diktator yang mengaku Tuhan itu dihumbankan ke daratan oleh laut yang mendapat perintah dari Tuhannya - Allah Yang Maha Hebat - Sejarah kekejaman Fir'aun, kekayaan dan keangkuhan ini banyak diceritakan Allah swt lewat dalam beberapa surah seiring dengan cerita keangkuhan dan kezaliman Bani Israil yang seringkali menipu helah dan berbohong kepada Nabi Musa alaihe salam. apabila para ahli nujumnya meramalkan akan lahir seorang bayi lelaki di kalangan Bani Israil yang akan memusnahkan kerajaan Fir'aun, lalu Fir'aun mengeluarkan satu doktrin kejam bahawa setiap bayi lelaki yang dilahirkan di kalangan Bani Israil mestilah dibunuh secara berselang tahun; satu tahun dibenarkan hidup dan tahun yang berikutnya mestilah dibunuh. Namun Fir'aun hanya boleh merancang tetapi yang menentukan kejayaan dan keberkesanan rancangannya hanyalah Allah swt yang merupakan sebaik-baik perancang. Lahirlah Nabi Musa as dalam tahun di mana semua bayi lelaki yang dilahirkan mestilah dibunuh. Selamatkah Musa alaihe salam??? Pastilah selamat justeru kelahiran Nabi Musa alaihe salam adalah termasuk dalam perencanaan Allah swt  Yang Maha Bijaksana. Bahkan Nabi Musa alaihe salam telah dibesarkan dalam istana musuhnya sendiri sebagai anak angkat Fir'aun setelah Allah swt memasukkan rasa kasih sayang di dalam hati Asiah istana Fir'aun. Anda boleh membaca kisah ajaib dalam banyak buku ataupun anda boleh Google sendiri bukan, Tetapi pastikan kesahihan cerita tersebut terlebih dahulu dengan bertanya kepada orang-orang yang berpengetahuan mengenainya.

SIAPA FIR'AUN ZAMAN MODEN?

Anda tahu jawapannya?  Adakah Ben Ali Presiden Tunisia yang disingkirkan rakyatnya sendiri sesudah 26 tahun berkuasa? Sesudah menjarah segala kekayaan yang dimiliki Tunisia? Ben Ali bertempiaran lari ke Saudi Arabia dengan membawa jongkong-jongkong emas bernilai RM 124 juta. Atau si Hosni Mubarak yang dikatakan mempunyai kekayaan terkumpul RM 70 Billion sepanjang 30 tahun berkuasa di Mesir sedangkan 40%  dari rakyat Mesir hidup di bawah garis kemiskinan! Persoalannya berapa luaskah lubong kubor? 6 kaki x 3 kaki...lebih kurang. Bolehkah segala kekayaan itu bawa bersama ke dalam lubong kubor? Manusia jenis apakah mereka ini? Walaupun seseorang itu memiliki segala kekayaan melimpah ruah, satu sen pun tidak akan dibawa bersama ke dalam lubang kubor. Benar bukan? Tiada siapa yang boleh menafikannya. Lalu untuk apa segala kekayaan ini? Kamu makan apa yang kami makan, kelazatan atau keenakan makanan tersebut hanya setakat di hujung lidah..setelah kamu kenyang sudah tentu kamu berhenti makan. Berapa kamu boleh makan? Kamu nak kumpulkan harta sampai 7 keturunan? Demi memastikan anak cucu kamu tidak akan papa kedana. Siapa yang memberi rezki kepada kamu dan mereka Rakusnya kamu. Pernahkah kamu ambil masa beberapa saat memikirkan nasib rakyat kamu yang hidup dalam kemiskinan sedangkan kamu menjarah setiap kekayaan yang sepatutnya kamu kembalikan manfaatnya kepada rakyat kamu.

FIRMAN ALLAH SWT YANG BERMAKSUD: "Maka barangsiapa yang mengingkari "thoghut" (syaitan, berhala dan apa sahaja yang menyesatkan) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada ikatan (tali agama) Allah yang amat teguh, yang tidak akan putus" (AL-BAQARAH: 256) 


Justeru itu apa sahaja yang menyeru kepada selain Allah swt adalah thoghut. Termasuk barangsiapa yang menyeru kepada pengagungan seseorang pemimpin, parti politik, hiburan dan seumpamanya. Secara ringkasnya apa sahaja yang tidak dapat menambahkan keimanan seseorang itu kepada Allah swt dan RasulNya sallallahu a'aihe wasallam dan apa sahaja yang tidak menyumbang kepada kebaikan kepada agama seseorang yang seterusnya menjamin kehidupan yang dirahmati dan diberkati Allah swt di dunia dan dirahmati serta diredhai Allah swt di alam akhirat. 


Untuk apa kita hidup di dunia ini. Untuk apa? Untuk melonggokkan segala kekayaan? Tanpa ditunaikan hak-hak orang-orang lain yang terdapat dalam kekayaan tersebut sepertimana yang diiktiraf oleh Allah swt dan RasulNya sallallahu alaihe wasallam? Bermegah-megah? Seperti lagaknya Karun Laknatullah yang bermegah-megah, berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk kekayaannya di hadapan khalayak rakyat jelatanya yang miskin? Namun akhirnya beliau ditenggelamkan Allah swt ke dalam bumi bersama segala kekayaannya. Dia akan menyesal di alam akhirat penyesalan yang tiada gunanya. 

Harta kekayaan yang akan menjadi penolong untuk si pemiliknya di alam akhirat ialah harta yang diperolehi dari sumber yang halal & yang menepati kehendak-kehendak roh syariat Allah swt. Kemudian dilaksanakan dan ditunaikan segala hak yang berkaitan dengan harta tersebut sebagaimana yang diperintahkan Allah swt dan RasulNya sallallahu 'alaihe wasallam termasuk zakat wajib dan juga zakat sunat (yang tidak diwajibkan yang dipanggil sedekah). Harta yang berkat adalah segala bentuk kekayaan yang dibelanjakan di jalan yang diredhai Allah swt. Harta yang dibelanjakan inilah sebenar-benarnya harta milikan si empunya. Ganjaran pahala dari amalannya itu sahaja yang bakal menyelamatkannya dari kemurkaan Allah swt pada hari kiamat. Sebaliknya harta dan segala rupa kekayaan yang dibelanjakan untuk tujuan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk bakal menjadi sebab baginya untuk dihumbakan ke dalam api neraka jahannam! 

Ingatlah, kita hidup bukan untuk hari ini, esok atau 30 tahun akan datang. Tapi kita hidup untuk alam akhirat. Kita datang ke dunia untuk "TRANSIT" sahaja. Persiapkan bekalan untuk perjalanan di alam akhirat yang panjang tidak berpenghujung. Rasulullah sallallahu 'alaihe wasallam telah bersabda yang bermaksud " Dunia dijadikan untuk kamu dan kamu dijadikan untuk akhirat." Dunia dijadikan untuk kamu bermaksud mestilah dunia itu menjadi hamba bagi kita, mempergunakannya sebagai platform untuk melakukan persiapan iman dan amal sebagai bekalan bagi menempuh perjalanan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Iman & Aman sahaja yang kita akan bawa berjumpa Allah swt, tidak yang lain. Sesungguhnya kita dijadikan untuk akhirat justeru alam akhirat itu adalah kekal abadi, tiada noktah dan tiada berpenghujung. Bahagia.... bahagia selama-lamanya. Sengsara.... sengsara selama-lamanya.














Kembara sebuah kehidupan

Manusia seperti kita adalah pengunjung sementara di dunia yang diibaratkan sebuah lapangan terbang yang disinggahi banyak kapalterbang untuk satu tempoh transit yang tertentu. Kita pun turun dari kapalterbang, menjinjing cabin luggage yang tentu bersaiz kecil, merentasi sky-bridge yang menghubungkan penumpang antara perut kapalterbang dan ruang transit. Lalu kita pun memasuki ruang transit, menghabiskan masa seketika sementara penerbangan seterusnya. Ada yang tempoh transitnya sekadar 2/3 jam, ada yang lebih lama dari itu terpulang kepada jadual penerbangan yang sudah semestinya telah ditetapkan dalam satu peraturan penerbangan yang ketat dan teliti. Rasulullah sallallahu a'aihe wasallam pernah bersabda yang bermaksud, "Hendaklah kamu di dunia ini menjadi seperti seorang pengembara atau seorang yang berada dalam satu perjalanan......" Itu pesan baginda  dari sekian banyak "Jawami'ul Kalim" Rasulullah sallallahu 'alaihe wasallam (perkataan yang dituturkan Rasulullah sallallahu 'alaihe wasallam dalam bahasa yang ringkas tetapi mempunyai makna dan maksud yang tersirat dan tersurat yang perlu diperjelaskan oleh alim ulama hadis). Sabdaan Rasulullah sallallahu 'alaihe wasallam ini membawa maksud mendalam bahawa kehidupan dunia dan tempoh masa yang kita miliki sepanjang usia kita adalah ibaratkan masa transit penumpang kapalterbang, singgah sebentar sementara menunggu penerbangan seterusnya. Lapangan terbang "transit" itu bukanlah maksud dan tujuan perjalanan kita tetapi maksud kita adalah destinasi terakhir yang telah ditetapkan. Dunia ini bukan tujuan kita tetapi cuma tempat persinggahan untuk menyiapkan perbekalan bagi satu perjalanan yang panjang.....alam akhirat adalah maksud dan tujuannya. Itulah kediaman terakhir dan tempat tinggal kekal abadi....sudah bersediakah kita???/